Allahuakbar..Pensyarah Rebah Di Sejadah Selepas Selesai Membaca Surah Al-Kahfi

“ARWAH sempat solat zohor bersama adik-beradiknya dan menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan bertelekung selepas selesai membaca surah al-Kahfi.”

Itu kata Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, suami kepada pensyarah Kuliah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Che Noraini Hashim yang meninggal dunia pada 3.45 petang semalam.

Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, berkata isterinya meninggal dunia di rumah keluarga di Kampung Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu, selang 15 minit ibu saudaranya, Rokiah Abdullah, 70, yang meninggal dunia di rumahnya di Kampung Bukit Losong.

Katanya, sebelum meninggal dunia arwah sempat menunaikan solat Zohor bersama adik-beradik dan selesai membaca surah al-Kahfi, arwah yang masih berada di sejadah tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.

“Terkilan jugalah sebab arwah tidak sempat menziarahi semula arwah ibu saudara yang meninggal dunia 15 minit sebelum dia pun pergi ‘mengiringi’ ibu saudara 15 minit kemudian.

“Isteri saya pergi dalam suasana yang cukup mudah dan di hari yang mulia. Dia menghembuskan nafas terakhir selepas selesai solat dan membaca surah al-Kahfi.

“Dia (arwah isteri) tidak mengalami sebarang penyakit dan pemergiannya sangat mengejutkan kami.

“Tapi, kami reda kerana pemergiannya dalam suasana yang sangat mudah dan tenang,” katanya ketika ditemui.

Syed Azman berkata, sebelum kejadian isterinya yang bertugas sebagai pensyarah di UIAM Gombak, Selangor, tiba di Terengganu pada 7.30 pagi.

Menurutnya, arwah sempat menziarahi ibu saudaranya, pada kira-kira 9 pagi, pada hari yang sama, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Katanya, pada hari itu juga, ibu saudaranya itu dibenarkan pulang ke rumah.

Bagaimanapun, katanya, tidak beberapa lama berada di rumah ibu saudara itu secara tiba-tiba nazak sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, jenazah isterinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Losong Paglima Perang, pada kira-kira 9 pagi, hari ini.

Menurutnya, kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara, orang kenamaan serta pemimpin setempat menghadiri majlis pengkebumian itu.

Turut hadir pada majlis pengkebumian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Ahmad Razif turut menunaikan solat jenazah yang diimamkan Syed Azman sebelum mengiring jenazah ke tanah perkuburan.

Terdahulu, Ahmad Razif dan isteri turut menziarahi jenazah arwah sebaik dimaklumkan berita kematian wanita terbabit, semalam.

Sumber: HMetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*