Kanak-Kanak Lelaki Berusia Lima Tahun Menderita Penyakit G6PD

KELUARGA kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang menderita penyakit kekurangan enzim dalam sel darah merah sejak berusia dua bulan memohon bantuan untuk rawatan lanjut.

Ibunya, Siti Nurarfa Abdullah, 27, berkata, penyakit anaknya, Muhammad Aminrudin Mat Reduan yang lebih dikenali sebagai Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD) itu mengakibatkan kulitnya menggelembung, bernanah dan berdarah sebelum menjadi kudis di bahagian tangan dan kaki.

Katanya, penyakit itu dikesan sejak anaknya itu dilahirkan dan hanya pada usia dua bulan kulit anaknya menggelembung dan bernanah.

“Setiap masa anak ketiga daripada empat beradik itu tidak suka memakai baju apabila berada di rumah kerana bimbang luka di kulitnya melekat. Apabila gatal, dia akan menggaru perlahan-lahan dan berhati-hati kerana risau luka.

“Walaupun Aminrudin tidak pernah menunjukkan kesakitan yang dialami namun melihat keadaan kulitnya itu saya sukar menahan kesedihan.

“Sebelum ini, saya membawa Aminrudin mendapatkan rawatan dan krim sapu di Klinik Kesihatan Panchor, namun sejak pertengahan tahun lalu selepas arwah suami, Mat Reduan Abd Kadir jatuh sakit, rawatan itu terpaksa dihentikan sehinggalah ke hari ini kerana kekangan kewangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Demit Darat di Kota Bharu hari ini.

Menurutnya, selepas suaminya meninggal dunia pada Februari lalu, dia terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah antara RM30 hingga RM35 sehari untuk menyara keluarga.

“Kadang-kadang apabila balik dari kerja saya membuat sedikit kuih untuk diletakkan di kedai makan berhampiran rumah.

“Jika saya mempunyai sumber kewangan lain, sudah tentu saya akan membawa Aminrudin mendapatkan rawatan daripada pakar namun saya tidak mampu kerana pada masa sama menjaga tiga lagi anak, Siti Nur Amalin Puteri, 9, dan Muhammad Amal Putera, 8, yang masing-masing belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Demit 1 serta Nur Aliana Fitri berusia setahun lima bulan,” katanya.

Katanya, kerana kesempitan hidup yang dialami juga menyebabkan rumah yang didiami anak beranak sejak enam bulan adalah ihsan tuan rumah.

“Sebelum ini ketika arwah suami masih ada, kami tinggal bersebelahan dengan rumah yang didiami sekarang, namun kerana tidak lagi mampu membayar sewa rumah RM250 sebulan menyebabkan kami terpaksa berpindah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik salah seorang anaknya Siti Nur Amalin Puteri Mat Reduan di nombor 03003-41-00014912-7.

Sumber: hmetro.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*