Nurliyana kritikal selepas pembedahan

PESAKIT Para Tiroid, Nurliyana Abdul Raziff, 32, yang sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian lehernya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini berada dalam keadaan kritikal berikutan beberapa komplikasi.

Suaminya, Mohd Taufiq Abdullah, 42, berkata, Nurliyana mengalami komplikasi di bahagian jantung dan saluran pernafasan sehingga memaksa doktor melakukan pembedahan kecemasan.

“Pada 1.30 pagi tadi, saya menerima panggilan daripada petugas Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL berikutan keadaan Nurliyana yang agak kritikal.

“Doktor yang merawat isteri saya memaklumkan bahawa beliau mengalami masalah jantung dan pernafasan disebabkan kandungan karbon dioksida yang amat tinggi.

“Melihat kepada keadaan Nurliyana ketika itu, doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan kecemasan bagi memasang saluran pernafasan melalui hidung atau menerusi tiub di bahagia leher,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Perkarangan Bangunan Utama HKL, sebentar tadi.

Mohd Taufiq berkata, doktor juga memaklumkan kepada keluarga untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan keadaan Nuliyana berada pada tahap sangat kritikal.

“Saya mohon doa rakyat Malaysia untuk dipermudahkan segala urusan kami sekeluarga dan yang terbaik untuk isteri, Nurliyana,” katanya.

Sumber

Sebelum itu:

Doakan Nurliana selamat menjalani pembedahan

PESAKIT Para Tiroid, Nurliyana Abdul Raziff, 32, menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian lehernya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Suaminya, Mohd Taufiq Abdullah, 42, berkata, pembedahan dilakukan selepas doktor pakar dari Institut Urologi dan Nefrologi, HKL, mengesahkan keadaan kesihatannya stabil, 7 pagi tadi.

“Pembedahan dilakukan secara setempat di bahagian lehernya bagi membuang Para Tiroid dan dijangka akan mengembil masa selama empat jam.

“Saya dan keluarga berharap semuanya berjalan dengan lancar dan sedang menunggu proses ini selesai.

“Kami harap semua yang mengenali Liyana dapat mendoakan keselamatannya pada semasa menjalani pembedahan dan selamanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penderitaan Liyana yang disahkan menghidap Para Tiroid sejak 2016 menyebabkan tulang rahangnya membesar dan bahagian dalam mulut terkeluar serta turut menjejaskan penglihatan.

Berat badannya turut menyusut daripada 55 kilogram kepada 23 kilogram manakala ketinggiannya turut menurun daripada 1.5 meter kepada 1.3 meter.

Sebelum ini, doktor pakar tidak mengesyorkan Liyana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tiroid sebaliknya perlu mencari kaedah rawatan sesuai berikutan wanita itu menghidap masalah buah pinggang dan jantung.

Masalah kesihatan itu menyukarkan doktor pakar untuk menjalankan pembedahan kerana Liyana tidak boleh disuntik ubat bius atau diberikan ubat tidur berikutan keadaan jantungnya lemah.

Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*