LATAR BELAKANG PENGASAS MAZHAB SYAFIE, IMAM AL-SYAFIE (BAHAGIAN 1)

Pengasas Madzhab Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 150 H, pada tahun yang sama dengan kewafatan ulama besar yang hebat iaitu Imam Abu Hanifah (pengasas Madzhab Hanafi). Sampai sebahagian orang mengatakan, “seorang imam telah meninggal dunia dan lahir pula seorang imam yang lain”.

Menurut Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam, Imam Al-Syafie dilahirkan di Gaza, Palestin. Desa Gaza ini berdekatan dengan sebuah kota yang dikenali sebagai ‘Asqalan. Dan kebanyakan kabilah yang tinggal berhampiran dengan tempat lahir Imam Al-Syafie ini adalah orang-orang Yaman. Pendapat ini turut dibentangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah. Seorang pengkaji sejarah, Al-Himawi, berkata, “Pentakwilan ini bagus sekiranya riwayat-riwayat tersebut Sahih.”

Nasab Imam Al-Syafie
Menurut pendapat yang tepat, Imam Al-Syafie berketurunan Quraisy dari jalur keturunan bapanya. Nama lengkap Imam Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Al-‘Abbas bin Usman bin Syafi’i bin Al-Sa’ib bin ‘Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutallib bin Abd Manaf. Nasab Imam Al-Syafie bertemu dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pada Abd Manaf.

Adapun ibu Imam Al-Syafie berasal dari keturunan Al-Azd. Ini adalah berdasarkan riwayat yang sahih kerana Imam Al-Syafie pernah berkata, “Ibuku berasal dari suku Azdi. Nama kunyahnya ialah Habibah Al-Azdiyah.” Tetapi, nama lengkap ibunya tidak dapat diketahui dengan pasti. Apa pun, ibu Imam Al-Syafie seorang yang cergas dan pandai mendidik, memang wajar jika sifat ibunya ini dijadikan tauladan.

Kembara Pertama Imam Al-Syafie
Buat kali pertamanya, Imam Al-Syafie telah dibawa oleh ibunya melakukan perjalanan dari Palestin ke Mekah ketika Imam Al-Syafie berusia 2 tahun. Dan perjalanan kedua Imam Al-Syafie ke Mekah adalah pada usia Imam Al-Syafie 10 tahun. Beginilah sebagaimana yang diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah.

Tujuan Imam Al-Syafie dibawa ke Mekah adalah untuk mendekatkan dirinya dengan nasab keluarganya. Al-Khatib menulis di dalam kitabnya, Tarikh Baghdad, bahawa Imam Al-Syafie berkata, “Saya dilahirkan di Yaman (berdekatan dengan kabilah Yaman), kemudian ibu saya bimbang nasab saya. Kata ibu saya: Kamu mesti berada di daerah asalmu, sehingga kamu jadi seperti mereka. Ibuku bimbang nasabku akan hilang. Kemudian ibu mempersiapkan diri untuk menuju kota Mekah. Saya tiba di kota Mekah, dan waktu itu usia saya baru 10 tahun. Lalu, ibu mula mengarahkan saya supaya mencintai ilmu pengetahuan.”

Kembara Pertama Imam Al-Syafie
Buat kali pertamanya, Imam Al-Syafie telah dibawa oleh ibunya melakukan perjalanan dari Palestin ke Mekah ketika Imam Al-Syafie berusia 2 tahun. Dan perjalanan kedua Imam Al-Syafie ke Mekah adalah pada usia Imam Al-Syafie 10 tahun. Beginilah sebagaimana yang diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah.

Tujuan Imam Al-Syafie dibawa ke Mekah adalah untuk mendekatkan dirinya dengan nasab keluarganya. Al-Khatib menulis di dalam kitabnya, Tarikh Baghdad, bahawa Imam Al-Syafie berkata, “Saya dilahirkan di Yaman (berdekatan dengan kabilah Yaman), kemudian ibu saya bimbang nasab saya. Kata ibu saya: Kamu mesti berada di daerah asalmu, sehingga kamu jadi seperti mereka. Ibuku bimbang nasabku akan hilang. Kemudian ibu mempersiapkan diri untuk menuju kota Mekah. Saya tiba di kota Mekah, dan waktu itu usia saya baru 10 tahun. Lalu, ibu mula mengarahkan saya supaya mencintai ilmu pengetahuan.”

Imam Al-Syafie Mendalami Bahasa Arab
Imam Al-Syafie sedar bahawa mustahil seseorang itu dapat memahami makna-makna Al-Qur’an, hukum-hakam dan khazanah rahsianya tanpa menguasai bahasa Arab dengan baik. Ini kerana Al-Qur’an diturunkan dengan bahasa Arab yang fasih.

Kata Imam Al-Syafie, “Saya meninggalkan kota Mekah dan tinggal di pedalaman Arab Badwi bersama suku Hudzail. Saya mempelajari adat istiadat mereka. Ini kerana Hudzail adalah suku yang paling fasih berbahasa Arab. Ketika kembali ke Mekah, saya sering membuat syair, menceritakan kisah-kisah sastera dan menghuraikan riwayat-riwayat yang saya perolehi”.

Imam Al-Syafie melanjutkan ceritanya tentang suku Hudzail, “Suku Hudzail itu seperti jin dari kalangan manusia. Mereka mampu melihat kesalahan bahasa Arab yang orang lain menganggapnya sudah benar.”

Kemampuan Imam Al-Syafie dalam bidang bahasa dan kesusasteraan arab memang diakui oleh para ulama. Al-Ashma’i, seorang yang terkenal dalam dunia kesusasteraan arab, berkata, “Saya telah mendapat pembetulan tentang syair-syair Hudzail dari seorang pemuda Quraisy yang bernama Muhammad bin Idris (Al-Syafie).”

Prof. Abdul Halim Al-Jundi pernah mengkaji dan menjelaskan mengenai gaya bahasa yang sering digunakan oleh Imam Al-Syafie di dalam kitabnya, Al-Imam Al-Syafie, iaitu:
(1) Kefasihan bahasanya.
(2) Kata-kata yang ringkas.
(3) Menyentuh perasaan pembaca.

Imam Al-Syafie Jaguh Sukan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memang menggalakkan umat Islam supaya memilih sukan memanah dan berkuda. Sukan ini jugalah yang menjadi kebiasaan Imam Al-Syafie dalam kehidupannya.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:
وارموا واركبوا وأن ترموا أحب إلى من أن تركبوا

Ertinya: “Panah dan berkudalah! Memanah lebih aku sukai buat kalian dari berkuda.” Hadis riwayat Abu Daud, Al-Nasa’i dan Al-Hakim. Al-Hakim berkata: Sanad hadis ini Sahih.

Imam Al-Syafie berkata, “Hobiku adalah memanah dan mencari ilmu. Kehebatanku dalam memanah 10 persepuluh. Jika ada 10 sasaran memanah, maka sepuluh itu jugalah yang terpanah (dengan tepat).”

Di masa lain Imam Al-Syafie berkata pula, “Saya suka sekali memanah, sehingga seorang tabib memberi peringatan kepadaku agar tidak berjemur kepanasan, kerana bimbang paru-paru rosak.”

Al-Rabi’ bin Sulaiman, salah seorang murid Imam Al-Syafie bercerita, “Dulu Imam Al-Syafie sangat pandai berkuda dan benar-benar berani. Ketika kudanya sedang makan, dia menjentik telinganya dan tiba-tiba kuda itu melompat di atas punggungnya.”

Demikianlah kehandalan Imam Al-Syafie dalam sukan memanah dan berkuda.

Imam Al-Syafie Hafaz Hadis
Keinginan Imam Al-Syafie terhadap ilmu-ilmu Islam semakin membara. Setelah menghafal Al-Qur’an dan mendalami bahasa Arab, beliau cenderung pula untuk mendalami ilmu Hadis. Memang beginilah ‘Adab Mencapai Mujtahid’ yang sebenar.

Di dalam kitab Al-Muhaddits Al-Fashil ada kisah yang hampir sama dengan kisah Imam Al-Syafie. Hafs bin Ghiyats berkata: Saya datang kepada al-A’masy dan berkata kepadanya: Riwayatkanlah hadis kepadaku! Al-A’masy bertanya: Apakah engkau sudah menghafal Al-Qur’an? Saya menjawab: Belum. Lalu dia berkata kepadaku: Pergilah hafalkan al-Qur’an! Kemudian (jika sudah), barulah aku bersedia meriwayatkan hadis kepadamu. Hafs berkata: Kemudian saya pergi untuk menghafal al-Qur’an. Lalu, saya datang semula kepadanya. Dia meminta saya untuk membaca al-Qur’an dan saya pun membaca (di hadapannya). Setelah itu, barulah dia meriwayatkan hadis kepadaku.

Imam Al-Syafie telah mendapat khabar tentang seorang ulama besar Madinah yang hebat dalam bidang hadis, iaitu Imam Malik. Majlis pengajian Imam Malik dikenali sebagai Madrasah Ahli Hadis. Lantas, Imam Al-Syafie segera meminjam kitab Al-Muwattha’ susunan Imam Malik dari seorang kenalan di kota Mekah. Kitab itu dibaca dan dihafalkan olehnya. Usianya ketika telah menghafal kitab Al-Muwattha’ ialah 13 tahun. Kemudian, Imam Al-Syafie berangkat pergi berjumpa dengan Imam Malik di Madinah serta berguru dengannya sampai kewafatan Imam Malik.

Imam Al-Syafie berhasil menimba ilmu hadis dan ilmu fiqh daripada Imam Malik. Dan mazhab Imam Malik inilah yang juga merupakan mazhab Imam Al-Syafie sebelum beliau berlepas diri dari mazhab Imam Malik. Demikian ini telah diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah di dalam kitabnya, Imam Al-Syafie.

Imam Al-Syafie turut dikenali sebagai “Pembela Hadis atau Nashir al-Hadis” di kota Mekah. Seorang anak murid Imam Al-Syafie yang bernama Ahmad bin Hanbal pernah ditanya tentang status Imam Al-Syafie sama ada beliau seorang ahli hadis ataupun bukan? Lalu, Amirul Mukminin fil Hadis, Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Ya, demi Allah, beliau adalah ‘Ahli Hadis’.”

Pernah imam bagi sekalian para imam yakni Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (Imam Ibnu Khuzaimah) ditanya tentang perihal Imam Al-Syafie, “Apakah anda mengetahui tentang adanya hadis sahih yang belum sempat ditulis oleh Al-Syafie? Maka jawabnya, “Tidak”.

Imam Al-Syafie Pakar Fiqh
Diriwayatkan dari Al-Humaidi bahawa Imam Al-Syafie berkata, “Ketika saya sedang berjalan untuk mempelajari ilmu nahwu dan kesusasteraan Arab, tiba-tiba saya bertemu dengan Muslim bin Khalid Az-Zanji. Ia bertanya: Wahai anak muda, kamu berasal dari mana? Dari keturunan orang Mekah, jawabku. Dari kabilah apa?, tanya beliau lagi. Kabilah Abd Manaf, jawabku. Lalu ia pun berkata: Bagus, bagus. Sungguh Allah telah memuliakanmu di dunia dan di akhirat. Andai kamu gunakan kecerdasanmu untuk mempelajari fiqh, maka hal itu lebih baik bagimu.”

Sufyan bin ‘Uyainah (guru Imam Al-Syafie) berkata, “Kenabian merupakan anugerah Allah yang paling mulia. Anugerah yang paling mulia setelah kenabian adalah ilmu dan fiqh.”

Peristiwa dan kata-kata guru Imam Al-Syafie tersebut telah mendorong beliau untuk menekuni fiqh secara serius. Kemudian beliau berguru dengan ramai fuqaha’ yang terkenal pada zamannya seperti Muslim bin Khalid Az-Zanji, Sufyan bin ‘Uyainah, Imam Malik bin Anas dan lain-lain.

Sebenarnya kefakihan Imam Al-Syafie sudah terserlah sejak usianya masih muda remaja. Oleh sebab itu, beliau telah diizinkan oleh Muslim bin Khalid Az-Zanji (Mufti Mekah) supaya memberikan fatwa ketika umurnya 15 tahun.

Pada kesempatan yang lain, Imam Al-Syafie menjelaskan tentang syarat-syarat untuk menjadi mufti (pemberi fatwa), katanya, “Tidak diperkenankan bagi siapa pun untuk memberikan fatwa mengenai agama Allah, kecuali:

(1) Orang yang benar-benar menguasai Kitab Allah (Al-Qur’an).
(2) Mengetahui nasikh dan mansukh.
(3) Mengetahui Muhkam dan Mutasyabih.
(4) Mengetahui Takwil-Tanzil.
(5) Mengetahui Makkiyah-Madaniyah.
(6) Benar-benar mengerti maksud suatu ayat.
(7) Menguasai hadis Rasulullah SAW.
(8) Ilmu-ilmu hadis lainnya.
(9) Bersikap adil.
(10) Mengetahui perbezaan pendapat para ulama.

Jika kesemua syarat ini telah dipenuhi, maka seseorang diperkenankan untuk memberikan fatwa mengenai hukum halal atau haram. Tetapi, jika persyaratannya masih kurang, ia tidak diperbolehkan memberi fatwa.” Seperti inilah yang dirakamkan dari kitab I’lamul Muwaqqiin karya Ibnu al-Qayyim.

Prof. Muhammad Abu Zahrah di dalam kitabnya Usul al-Fiqh telah menjelaskan bahawa Imam Al-Syafie adalah merupakan pendahulu yang menulis dan membukukan penulisan tentang Usul al-Fiqh secara sistematik yang dikenali sebagai kitab ‘Al-Risalah’. Ini menunjukkan kefakihan Imam Al-Syafie terhadap dasar-dasar ilmu fiqh dan segala cabangnya.

Imam Al-Syafie Pakar Debat
Imam Al-Syafie sangat pandai berdebat. Kehebatannnya berdebat dan mengalahkan pihak lawan telah masyhur diketahui ramai. Sebagaimana yang diceritakan oleh Yunus bin Abdul A’la bahawa sekiranya Imam Al-Syafie sudah terlibat dalam perdebatan, maka dia akan terus mendebat lawannya sampai dapat membungkamnya.
Pernah Imam Al-Syafie bercerita, “Saya terlibat dalam perdebatan yang sengit bersama Muhammad bin Al-Hasan. Lalu, sedikit demi sedikit saya mulai meruntuhkan argumen-argumennya.”

Imam Muhammad bin Al-Hasan: Seseorang tidak boleh berdoa di dalam solatnya kecuali doa yang redaksinya berasal dari Al-Qur’an atau redaksinya sama dengan redaksi Al-Qur’an.

Imam Al-Syafie: Bolehkah seseorang berdoa seperti ini, “Ya Allah, kurniakanlah aku makanan mentimun, bawang merah dan bawang putih” atau “Kurniakanlah aku rezeki berupa makanan-makanan tersebut”, atau Keluarkanlah ia dari bumiku?”

Imam Al-Hasan: Tidak.

Imam Al-Syafie: Bukankah doa seperti itu memang terdapat di dalam Al-Qur’an? Jika orang yang bersolat hanya boleh berdoa dengan doa yang terdapat di dalam Al-Qur’an maka redaksi doa tadi ada di dalam Al-Qur’an. Tetapi sekiranya kamu melarang doa yang bukan dari Al-Qur’an, kenapa kamu melarang doa tertentu dan membolehkan doa tertentu?

Imam Al-Hasan: Bagaimana pula pendapatmu?

Imam Al-Syafie: Setiap redaksi doa yang diperbolehkan untuk dibaca selain dalam solat maka doa tersebut boleh dibaca ketika solat, bahkan disunatkan kerana solat merupakan media yang dapat mempercepat dikabulkannya doa seseorang. Di samping itu, solat juga bererti bacaan dan doa. Dalam solat, seseorang tidak boleh berkata-kata seperti perkataan yang biasa diucapkan selain pada waktu solat.

Bersambung…

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*