Simpan Tali Pusat Bayi adalah HARAM jika…

Kebiasaan amalan kita masyarakat Melayu, tali pusat bayi yang tanggal akan disimpan elok-elok kan.

Alhamdulillah… Bila dah dewasa, makin belajar dan terus belajar sesuatu yang baru. Rupanya amalan masyarakat Melayu yang kita amalkan sejak sekian lama itu adalah amalan salah yang tiada dalam amalan hukum Islam.

Merujuk kepada artikel dalam buku ‘Fiqh Wanita’, dalam Islam, secara jelas tidak ada dalil khusus menceritakan tentang khasiat dan kelebihan tali pusat. Pendekatan yang diambil adalah tali pusat sama seperti uri dari segi ia adalah sebahagian daripada anggota badan manusia. Maka kita dituntut untuk menghormati dan mensyukuri nikmat Allah dengan cara menanamnya.

Cara menanam tali pusat yang telah gugur lebih mudah daripada uri kerana ukurannya yang kecil dan pendek serta ia telah pun kering dan tidak mempunyai darah yang mengalir. Oleh itu, tali pusat tersebut tidak perlu dibasuh mahupun dibungkus dan boleh ditanam terus di mana-mana sahaja asalkan tempat itu tidak diganggu oleh binatang.

HUKUM menanam tali pusat adalah SUNAT manakala menyimpannya untuk tujuan khurafat adalah HARAM. Antara kepercayaan masyarakat berkaitan tali pusat adalah soal kesudahan hidup si bayi.

Menurut mereka, sekiranya tali pusat gugur di dalam air, bayi itu akan mati kelemasan. Selain itu, tali pusat juga dianggap mempunyai kuasa tersendiri sehingga ia mampu digunakan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama manusia khususnya hubungan adik beradik.

Berdasarkan video ceramah daripada Ustaz Azhar Idrus mengenai isu ini, MAKRUH simpan tali pusat tanpa ditanam dan disunatkan bagi kita untuk menanam tali pusat yang jatuh itu ditempat yang baik. Ini kerana menurut ulama, tali pusat adalah sebahagian daripada anggota tubuh manusia yang patut dihormati. Manakala dari segi perubatan ia tidak dapat dipastikan lagi dan tidak boleh dikatakan haram.

Video ceramah dari UIA:

Sama2 kita share pengetahuan dan baiki kekhilafan kita.

Bolehkah saya simpan darah tali pusat bayi saya untuk tujuan perubatan?

Secara umumnya, para doktor berpendapat bahawa darah tali pusat harus disimpan hanya sekiranya keluarga tersebut mempunyai sebab perubatan untuk melakukannya (contohnya, jika anda sudahpun mempunyai seorang anak yang menghidap penyakit yang boleh dibantu menggunakan pemindahan sel stem).

Ini kerana, para doktor berpendapat bahawa tiada banyak faedah bagi kebanyakan keluarga untuk menyimpan darah tali pusat bayi. Pengeluaran dan penyimpanan darah tali pusat adalah satu prosedur yang agak janggal dan tidak dilakukan secara terbuka. Kosnya juga biasanya tinggi.

Darah daripada tali pusat bayi mengandungi sel-sel stem. Sel-sel stem merupakan sel asas yang membentuk sel-sel lain dalam badan bayi anda. Tidak hairanlah mengapa penyimpanan darah tali pusat sering dipertimbangkan oleh ibu bapa, walaupun sebenarnya tiada keperluan dari segi perubatan.

Sel-sel stem boleh membentuk sel-sel darah yang melawan jangkitan, membawa oksigen ke seluruh badan dan membantu dalam pembekuan darah. Sel-sel darah yang sama ini jugalah yang terjejas dalam kes penyakit seperti leukimia dan masalah berkaitan darah seperti penyakit anemia sel sabit (sickle cell anaemia).

Darah tali pusat anak anda yang telah disimpan adalah padanan yang sempurna baginya pada mana-mana peringkat hidupnya. Selain itu, terdapat kemungkinan yang besar bahawa darah tersebut padan dengan anak-anak anda yang lain. Penyakit-penyakit selain daripada penyakit berkaitan darah boleh juga dirawat dengan sel stem, termasuk penyakit berkaitan metabolisme dan sistem ketahanan badan (sistem imun).

Terdapat beberapa syarikat swasta yang menawarkan khidmat mengumpul dan menyimpan darah tali pusat bayi. Anda mungkin dapat membaca risalah-risalah seperti ini di klinik pakar obstetrik anda untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rutin, prosedur dan kos-kos yang terlibat.

Darah tali pusat ini disimpan supaya ia boleh digunakan oleh ahli keluarga pada masa hadapan. Syarikat-syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan menyimpan darah tali pusat biasanya akan menerangkan faedah-faedah yang boleh diperolehi daripada perkhidmatan mereka. Apabila anda sedang hamil, anda mungkin bimbang mengenai masa depan anak anda. Oleh itu, amat mudah bagi anda merasa bimbang mengenai kesihatan anak atau anak-anak anda di masa hadapan. Namun realitinya, kebanyakan keluarga tidak akan ada keperluan untuk menggunakan darah tali pusat daripada keluarga terdekat.

Satu lagi isu yang terlibat ialah pengumpulan darah tali pusat mengganggu pengalaman ibu dan bayi semasa proses kelahiran. Darah tali pusat harus diambil semasa atau sejurus selepas plasenta dilahirkan. Ini merupakan masa di mana jururawat perbidanan atau pakar obstetrik akan sedang sibuk menguruskan anda dan bayi.

Tali pusat bayi perlu dikepit awal dan darah diambil daripada tali pusat menggunakan beberapa batang picagari. Anda perlu merancangnya lebih awal untuk doktor anda melakukannya.

Jika anda mengambil keputusan untuk melakukannya, baiklah anda dapatkan sebanyak mana maklumat yang boleh semasa anda hamil. Anda perlu menilai kebaikan dan risikonya terhadap diri anda, bayi dan orang lain yang terlibat.

Sesetengah ibu merasakan lebih penting bagi mereka meneran plasenta keluar sendiri (tahap ketiga yang natural) dan melewatkan pengepitan tali pusat berbanding mengumpulkan darah tali pusat. Sesetengah yang lain pula merasakan bahawa bayi mereka atau ahli keluarga yang lain akan mendapat manfaat pada masa hadapan jika darah tali pusat itu dikumpulkan.

Dalam situasi tertentu, pengumpulan darah tali pusat adalah tidak selamat. Oleh itu, jika bayi anda dilahirkan pramatang, atau sekiranya anda melahirkan anak kembar atau anda perlu menjalani caesarean kecemasan, keputusan ini bukan terletak di tangan anda lagi.

Dr Winston Yong, panel pakar BabyCenter berkata, anda juga boleh mendermakan darah tali pusat bayi anda kepada Bank Darah Tali Pusat Awam Malaysia yang terletak di Pusat Darah Negara. Darah tali pusat yang disimpan ini kemudiannya boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang memerlukan serta padan. Hospital Kuala Lumpur menyediakan khidmat pengumpulan darah tali pusat untuk bank darah awam ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Bank Darah Tali Pusat Awam, hubungi:

Pusat Darah Negara (National Blood Transfusion Centre)

Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur, Tel: 03-26933888

Disemak oleh Dr Winston Yong Sin Chuen, bekas professor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini perunding pakar kanak-kanak di pusat rawatan swasta di Lembah Klang.

Sumber: babycenter.com.my

Sumber: itsallaboutlife

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*