Menyingkap Tragedi Disebalik Taman Tema Pertama Malaysia Yang Telah Ditinggal Lebih 20 Tahun

Pada 1971, pintu Mimaland dibuka kepada umum. Ia adalah taman tema pertama di Malaysia. Mimaland atau nama panjangnya ‘Malaysia In Miniature Land’ terkenal dengan replika dinosaur berskala besar yang dikelilingi oleh hutan hujan tropika.

Mimaland merupakan taman tema pertama di Malaysia yang begitu popular pada tahun 70-an dulu. Tapi sayang terpaksa ditutup pada tahun 1994 oleh kerana beberapa kejadian tanah runtuh dan kematian seorang rakyat Singapura akibat lemas.

Terletak di Gombak, Selangor, taman tema ini juga mempunyai tasik untuk aktiviti perahu dan memancing. Beberapa tarikan seperti kolam yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara dan gelongsor gergasi membuat pengunjung tidak henti-henti datang sejurus pembukaannya

Mimaland adalah tempat yang sangat popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong sehingga satu rentetan peristiwa menyebabkan penutupannya pada tahun 1994

Ramai generasi muda hari ini mungkin pertama kali mendengar tentang Mimaland ini tapi tanyalah ibu dan bapa anda, tentu mereka tahu (Jika masih ingat). Mari kita mengimbau kenangan Mimaland yang pernah menceriakan ribuan manusia dalam dan luar negara bila berada di Malaysia suatu ketika dahulu.

Setelah bertahun-tahun Mimaland menceriakan hidup ramai orang, sesuatu yang tidak diingini berlaku juga. Satu kemalangan telah terjadi di kawasan papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993 yang menyebabkan kematian seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun.

Kejadian malang itu mengejutkan orang ramai hingga memaksa pihak Mimaland menutup sementara kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan luncurnya bagi dilakukan kerja-kerja penambahbaikan.

Pada Mei 1994 pula, berlaku kerosakan pada dinding kolam renang yang sama yang berpunca daripada kejadian kecil tanah runtuh hingga menyebabkan air lumpur memasuki kolam renang tersebut. Sekali lagi, kawasan tersebut ditutup kepada orang ramai.

Tahun berikutnya, pembangunan di kawasan itu telah membawa kepada tanah runtuh yang menyebabkan air kolam keruh dan merosakkan kawasan kecil taman tema. Tambahan lagi, terdapat juga masalah keselamatan dilaporkan.

Pihak pengurusan Mimaland kemudiannya telah diseret ke mahkamah oleh beberapa pihak termasuk agensi kerajaan di atas beberapa dakwaan kesalahan, antaranya ialah kelemahan dalam kawalan keselamatan, serta menjadi punca kepada beberapa masalah alam sekitar.

Sepanjang pendakwaan kes tersebut pihak mahkamah telah menghalang Mimaland daripada meneruskan operasinya. Akibat tidak dapat lagi bertahan tanpa beroperasi, Mimaland akhirnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada 1994. Kesan peninggalan Mimaland masih wujud hingga kini.

Mungkin sedikit pelik untuk didengari, tetapi Mimaland kini bertukar menjadi tarikan berbeza kepada thrill-seekers yang sukakan pengembaraan unik

Tapak terpencil Mimaland telah dibiar terbengkalai begitu saja dan tidak berpenghuni sejak penutupannya pada 1994.

Namun hari ini, ramai orang pergi ke tapak Mimaland atas rasa ingin tahu, terutamanya apabila terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa tempat itu penuh misteri dan berpenunggu. Mimaland kini popular sebagai salah satu tempat paling mistik di negara ini.

Sementara itu, ada juga orang yang sengaja pergi ke sana untuk aktiviti rekreasi, kadang-kadang singgah sebentar untuk berjalan di sekitar kawasan itu walaupun mereka mungkin ditangkap kerana menceroboh tanah hak milik peribadi

Apa yang jelas ialah tempat itu sangat usang dan cebisan vandalisme lebih memberikan rasa gerun yang menakutkan

Terdapat juga laporan yang mengatakan hidupan liar seperti harimau telah dilihat di kawasan tersebut. Dan walaupun telah terbiar sejak sekian lama, masih ada pengawal keselamatan yang menjaga tempat itu bagi memastikan orang luar tidak masuk.

Tetapi, Mimaland tetap menarik perhatian orang ramai untuk datang sehingga hari ini.

Mimaland kini hampir tidak dapat dikenal pasti kerana bentuk asalnya telah berubah sama sekali

Walau ditinggalkan, Mimaland tetap tidak boleh dilupakan. Koleksi gambar dan video masih dikongsi di laman Facebook yang didedikasikan khas untuk kenangan dari semasa ke semasa.

Sepanjang dua dekad yang lalu, ramai peminat yang berharap Mimaland akan dibuka semula satu hari nanti, walaupun tahun demi tahun mimpi itu sekadar angan-angan yang tak mungkin kesampaian.

Terdapat ura-ura mengenai pembangunan semula Mimaland tetapi menjelang 2015, sumber melaporkan bahawa usaha sama di antara MPHB Capital Bhd, yang memiliki 98.2% daripada Mimaland Bhd, dan Bandar Raya Developments Bhd (BRDB) unit Magna Senandung Sdn Bhd telah ditamatkan.

Video di bawah memaparkan dengan lebih jelas bagaimana rupa Mimaland pada tahun 2017:

Ada siapa-siapa yang pernah pergi ke Mimaland? Anda nak tak kalau Mimaland dibuka semula? Kongsikan pendapat di ruangan komen di bawah!

Sumber : KisahLogik via GelombangViral

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*