Sekumpulan penyelam menemui istana berusia 3,000 tahun di tasik terbesar Turki dan percaya ia memiliki kuasa misteri

Sejarawan, para penyelidik malah penyelam profesional amat terkejut dan teruja dengan penemuan sisa-sisa tapak sebuah istana yang berusia 3,000 tahun di dasar Tasik Van.

Tasik Van merupakan tasik yang terbesar di Turki dan telah menjadi lokasi yang selama ini menyembunyikan khazanah negara itu.

Sisa binaan istana yang gah itu telah ditemui ketika sekumpulan penyelam dari Universiti Van Yüzüncü Yil melakukan penggalian di dalam tasik berkenaan.

Pakar berpendapat bahawa sisa bangunan ini dahulunya pernah menjadi kubu pertahanan yang dibina sewaktu ketamadunan Urartu yang wujud semasa Zaman Logam. Pada era tersebut, kerajaan Urartu berkembang pesat di bahagian selatan Laut Hitam dan Laut Caspian, wilayah pergunungan barat daya Asia yang kini meliputi Armenia, barat laut Iran dan juga bahagian timur Turki.

Sewaktu zaman pemerintahan dan penaklukan kerajaan Urartu, paras air di Tasik Van adalah rendah, sekitar 100 kaki kurang daripada parasnya sekarang.

Sekumpulan penyelam menemui istana berusia 3,000 tahun di tasik terbesar Turki dan percaya ia memiliki kuasa misteri

Kredit: National Geographic / YouTube

Justeru, apabila paras air meningkat, binaan kubu yang gah ini telah ditenggelami air dan menjadi sejarah yang dilupakan. Menurut Science Alert:

“Paras air tasik telah mengalami perubahan yang dramatik selama beribu tahun dan para penyelidik percaya bahawa paras air pada waktu itu adalah lebih rendah daripada ketinggian masyarakat Urartu dan secara perlahan-lahan telah meningkat dari semasa ke semasa untuk menampung seluruh bandar”.

Penemuan istana yang terkubur di dasar tasik ini melibatkan dinding istana yang mencecah kepanjangan hampir 13 kaki! Bukan sahaja itu, istana ini yang diperbuat daripada batu juga kelihatan masih terpelihara disebabkan oleh kandungan alkali di dalam Tasik Van ini.

Pengkaji turut menemui simbol singa pada salah satu batuan tersebut sekali gus membuktikan teori bahawa masyarakat Urartu yang dikenali dengan motif singa telah membina istana berkenaan.

Sekumpulan penyelam menemui istana berusia 3,000 tahun di tasik terbesar Turki dan percaya ia memiliki kuasa misteri

Kredit: National Geographic / YouTube

Sementara itu, ketua pasukan penyelam yang juga merupakan jurugambar bawah air iaitu Tahsin Ceylan berpendapat bahawa istana ini berasal dari Zaman Pertengahan.

Menurut beliau yang telah menjelajahi Tasik Van selama 10 tahun, beliau mempercayai bahawa masyarakat Zaman Pertengahan telah menggunakan struktur lama untuk membina istana berkenaan. Tahsin turut mendakwa bahawa Tasik Van yang berusia 600,000 tahun itu telah menjadi rumah kepada banyak ketamadunan disebabkan oleh kuasa misteri yang terbenam di dalam tasik itu.

Sekumpulan penyelam menemui istana berusia 3,000 tahun di tasik terbesar Turki dan percaya ia memiliki kuasa misteri

Kredit: National Geographic / YouTube

“Banyak tamadun dan manusia pernah mendiami kawasan sekitar Tasik Van. Mereka menggelar tasik itu sebagai ‘laut atas’ dan percaya ia mempunyai pelbagai perkara misteri. Dengan kepercayaan ini, kami sedang berusaha untuk membongkarkan rahsia tasik tersebut”.

Meskipun wujud dua teori yang berbeza pendapat, kedua-dua pihak iaitu penyelam dan juga ahli arkeologi bersetuju untuk menjalankan kajian secara lebih mendalam bagi merungkai fakta di sebalik istana yang tenggelam itu.

Sumber: Elite Readers via mediahijrah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*