Bekas pengawal peribadi Tun M Dedah Rahsia

KUALA NERANG – Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 mengembalikan semula kenangan bekas pengawal peribadi beliau semasa bertugas.

Saad Hashim, 77, berkata, dia sungguh terharu apabila Mahathir sekali lagi dilantik sebagai perdana menteri.

Menurut Saad atau lebih dikenali Pak Ad berkata, dia pernah berkhidmat selama 30 tahun ketika Mahathir menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu.

“Saya sangat gembira apabila Tun dilantik sekali lagi dan terasa ingin bertugas kembali tetapi kudrat saya hari ini sudah tidak mampu lagi untuk bekerja. Ini berbeza dengan Tun walaupun sudah berusia 93 tahun tetapi masih mampu tunggang kuda dan kayuh basikal.

“Sejak dahulu lagi Tun sangat menjaga kesihatannya dengan hanya makan ala kadar untuk mengalas perut sahaja. Apa yang uniknya Tun tidak makan ikan kerana dididik oleh ibunya sejak kecil lagi,” kata bekas Setiausaha Kerja Umno Bahagian Kubang Pasu.

Menurut Pak Ad, sepanjang berkhidmat, Mahathir disifatkan sebagai seorang yang sangat menepati masa.

Bagi Mahathir masa adalah seperti emas dan sangat berharga. Setiap kali jika ada sebarang program semua kakitangan yang bertugas akan datang lebih awal lagi.

“Tun seorang yang tegas dan berani. Jika beliau hendak sesuatu pasti akan pergi tidak kira sama ada bahaya atau tidak. Contohnya semasa pembinaan Universiti Utara Malaysia (UUM) dia mengajak saya bersamanya walaupun kawasan itu bahaya sebelum ini.

“Tun sendiri mahu melihat sejauh mana pembinaan UUM pada masa itu. Ini menunjukkan dia sangat mengambil berat tentang pembangunan serta pendidikan kepada masyarakat terutamanya pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke situ nanti,” katanya.

Menurut Pak Ad, tabiat yang masih kekal pada Mahathir sehingga hari ini ialah sering membawa buku catatan dan pen untuk dicatat segala masalah rakyat atau sesuatu yang baharu baginya.

Buku catatan dan pen seperti nyawa beliau kerana Mahathir tidak akan pergi ke mana-mana tanpa dua benda itu walaupun pergi ke luar negara.

“Oleh itu tidak hairanlah jika Tun keluar negara pun dia akan mencatat segala apa yang dia lihat dan dengar supaya dapat memberi panduan kepadanya.

“Sebab itu banyak pembaharuan dibawa masuk semasa di bawah kepimpinannya dengan pelbagai dasar supaya memajukan negara kita ini,” katanya.

Rahsia Mahathir panjang umur

“Arwah ayah saya meninggal ketika berusia 92 tahun. Dan kita kena ingat bahawa ayah saya bukanlah seorang doktor perubatan seperti saya sekarang”.

Kata-kata berunsur humor tersebut keluar dari mulut Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa majlis yang pertama kali menghimpunkan para pemimpin utama kerajaan dan parti pembangkang Melayu Islam khusus PAS dan PSRM di pertengahan tahun 1990-an ketika himpunan menentang kezaliman Israel terhadap Palestine yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Para hadirin yang berada di meja VVIP bersama-sama Tun Mahathir ketika itu semuanya secara spontan ketawa.

Walaupun sekadar bahan lawak pada masa itu, perjalanan masa menunjukkan bahawa Tun Mahathir percaya bahawa keturunannya panjang umur dan dia seolah-olah menemui formula bagaimana untuk hidup dengan lebih lama berbanding orang lain.Bekas pengawal peribadi Tun M dedah rahsia
Tun Dr. Mahathir memperuntukkan tiga perempat daripada usianya bergelumang dalam kancah politik. Sejarah memperlihatkan bahawa Tun Dr. Mahathir adalah tokoh politik yang paling controversial di Malaysia dan di rantau ini.

Karier politiknya sarat dengan naratif bersifat konflik dan perkelahian. Lawannya bukan orang sembarangan.  Senarai musuhnya agak amat panjang merangkumi tiga presiden parti beliau sendiri. Di sana terdapat juga barisan Sultan, Ketua Hakim Negara, dua mantan PM, dua timbalan PM dan seorang naib presiden parti.

Adakah berkelahi dan berkonflik menjadi sebahagian daripada formula Tun Dr. Mahathir untuk memanjangkan usia mengatasi jangka hayat arwah ayahanda beliau?

Beberapa tahun kebelakang, Tun Mahathir kembali menyinsing lengan bertarung dalam kancah politik. Kali ini beliau menyertai barisan parti pembangkang yang menubuhkan Pakatan Harapan.

Menariknya ialah kumpulan  yang selama ini tidak pernah setuju dengan sebarang idea dan polisi yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir sewaktu beliau menjadi PM, kini mengubah haluan dan bersetuju hampir dalam setiap apa sahaja yang diperkatakan oleh Tun Mahathir.

Beliau dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan. Dan beberapa hari lalu Pakatan Harapan, sebulat suara pula mencalonkan Tun Mahathir sebagai calon PM sekiranya mereka menang dalam PRU-14 kelak.

Siapa menyangka pada usia 92 tahun Tun Mahathir masih dicalonkan sebagai bakal PM?

Sekiranya Tun  Mahathir masih kekal bersama Umno, ramai percaya bahawa mati hidup semula sekalipun Umno tidak sekali-kali akan bertindak mencalonkan Tun Mahathir sebagai bakal PM!

Liabiliti politik yang dibawa oleh Tun Mahathir menggunung tinggi. Namun kepada Pakatan Harapan, semua itu tidak menjadi hal sangat asalkan Tun Mahathir  masih boleh melepaskan tembakan meriam yang bisa memecahkan benteng dan kubu BN.

Pentas politik kepembangkangan menjadi talian hayat kepada Tun Mahathir dan dengan suntikan baru sebagai calon PM,  Tun  Mahathir boleh terus dibuai angan-angan untuk kembali menjadi PM Malaysia.

Di Zimbabwe, Robert Mugabe yang seangkatan era kebangkitannya dengan Tun Mahathir dipaksa turun daripada tahkta kekuasaan dengan cara yang hina. Ironinya, di Malaysia, pemimpin parti pembangkang yang selama ini amat membenci Tun Mahathir kini bertukar haluan dan bersedia untuk kembali mengangkat beliau ke takhta kekuasaan.

Sumber :

1. http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/bekas-pengawal-peribadi-tun-m-dedah-rahsia-1.833634
2. https://sarawakvoice.com/2017/12/06/rahsia-mahathir-panjang-umur/
Via himpunanmedia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*