“Alaa baby, pilihkan la.. Kahwin nanti senang, dah tahu sayang guna tuala wanita yang mana…”

Petang semalam saya beratur di restoran KFC, nak order makanan. Ramai orang, barisan pun panjang. Anak-anak tak mahu makan lain, isteri pun tak kisah, saya terpaksa turutkan walaupun kami tahu masa menunggu akan jadi lama.

Nak dijadikan cerita, dalam barisan depan saya ada seorang gadis belasan tahun beratur bersama seorang lelaki, juga belasan tahun. Mereka tampak mesra, sesekali si gadis bertudung biru ini mencubit lengan si lelaki dan si lelaki mencebik muka manja-manja kononnya sakitlah. Si gadis melentok-lentok macam cacing kepanasan, mungkin cair muka comel si lelaki. Sakit mata saya menengoknya.

Kemudian si gadis nak ambil selfie dengan si lelaki, saya jadi geram nak marah apabila si gadis sandarkan kepalanya pada bahu si lelaki. Saya dah mula berpeluk tubuh, langsung tak senyum sebab rasa nak marah dengan aksi mereka berdua. Saya menoleh kepada dua orang wanita belakang saya, kedua-duanya geleng kepala seakan faham dan mempunyai perasaan sama seperti saya.

Saya menoleh semula ke arah pasangan dua sejoli ini, mereka sedang berbual-bual. Mata bertentang mata, bercakap dengan kedudukan muka rapat to each other, hampir sikit lagi nak bersentuh bibir. Saya yang menengok ni rasa berasap!

Kemudian si lelaki ini menyentuh bahu si gadis tadi, gaya manja, mengeluarkan dompet, mengira-ngira duit. Jelas nampak tangan-tangan mereka bersentuhan. Saya sudah mula rasa geram nak marah, tetapi entah kenapa saya tahankan rasa marah. Tak mahu make a scene kot, sebab anak-anak dan isteri saya sedang menunggu di meja dan semestinya lapar belum makan berat sejak pagi. Nasib baik kaunter lain baru dibuka dan saya order di situ, tak perlu beratur di belakang pasangan muda yang lentok-lentok sebegini.

Saya ceritakan kepada isteri saya betapa saya rasa bersalah kerana tidak menegur dua remaja yang terang-terangan bersentuhan sebegitu tadi. Tetapi isteri saya memujuk, sekurang-kurangnya kita benci dalam hati (selemah-lemah iman) walaupun tak mampu menghentikan maksiat depan mata.

Beristighfar sepanjang malam. Rasa bersalah tak menegur pasangan tersebut menguasai diri.

Petang ini saya singgah di sebuah farmasi sekitar sini, nak membeli ubat untuk isteri saya. Terkejut saya, dua remaja semalam juga ada di kedai farmasi yang sama. Dalam kepala saya mengagak, “Kebetulan sungguh. Dua-dua ada di sini, mereka ni suami isteri, mungkin…” Saya cuba bersangka baik. Tapi sejauh mana sangka baik saya ini benar apabila kedua-dua mereka menyandang beg sekolah dan memakai kasut sekolah? Sudah bernikah walaupun umur belasan tahun pelajar sekolah menengah? Mungkin.

Kebetulan lagi, saya sedang melihat-lihat ubat yang nak dibeli di rak bersebelahan dengan mereka berdua.

“Bi pilihkan, boleh?” terdengar suara si gadis dengan lenggok manja macam bercakap dalam kelambu.
“Mana Bi reti, sayang….” jawab si lelaki.

Saya bukan jenis busy body, malas nak ambil tahu apa yang mereka sedang nak beli. Tapi sebab suara lentok manja sebegitu, saya menjenguk.

Dalam hati saya ‘menjerit’ “What?? Tuala wanita?”

“Alaaaa Bi… Pilihkanlah… Nanti kahwin nanti Bi senang.. Dah tahu Sayang guna jenis mana…” balas si gadis, suara manja lagi.

Ketika itu saya ter-spontan, mencelah, “Assalamu’alaikum…. Dik, korang berdua ni bukan adik-beradik, kan?”

Terkejut mereka berdua, tiba-tiba saya menegur, “… Bukan,” jawab si lelaki. Tak jawab salam saya pun.

“Adik-beradik memang takkan manja-manja sebegini. Jadi, korang suami isteri ke?” saya bertanya lagi.

Kedua-duanya senyap.

“Kalau suami isteri, kita tak sepatutnya tunjuk manja-manja sebegini depan publik, depan orang, dalam kedai sebegini, semalam pun saya nampak korang gedik-gedik di restoran KFC, suami isteri tak patut buat begini. Kalau orang yang bukan suami isteri, lebih-lebih lagilah tak patut sentuh-sentuh dan berbual manja sebegini, bukan mahram, tak manis dipandang orang, Allah marah dan semua ini haram. Belum kahwin, awak orang perempuan tak rasa malu ke beritahu orang lelaki pasal awak period dan pakai tuala wanita jenis mana?” saya spontan.

Si gadis muka pucat, menunduk, terus melangkah nak keluar dari farmasi. Si lelaki mengikut di belakang. Saya capai botol ubat yang saya nak beli dan pergi ke kaunter.

Ada sebab kenapa Allah temukan saya dengan mereka sekali lagi hari ini selepas semalam saya tak sempat berkata apa-apa.

Anak-anak muda hari ini banyak terpengaruh dengan adegan-adegan sweet bukan mahram yang ditayangkan di TV, layar perak dan media sosial. Sampai tak reti nak faham batas agama. Sampai terasa biasa berbuat dosa.

Saya nak pesan kepada semua anak gadis selagimana belum nikah, tolonglah mahalkan diri. Jangan biar mana-mana lelaki ajnabi menyentuh tangan, muka, kaki, apa-apa sahaja. MAHALKANLAH DIRI.

Si lelaki pun tolonglah hormat kepada orang perempuan sebagaimana kita nak orang hormat kepada ibu kita. Lelaki sebeginilah lelaki mahal. Lelaki yang bermudah-mudah menjadikan wanita objek sentuhan adalah lelaki tak berpendirian yang tak layak dijadikan suami.

Para ibu bapa WAJIB cegah, henti dan halang anak-anak kita daripada menonton dan terpengaruh dengan drama-drama cintan-cintun bukan mahram yang ditayangkan di TV, filem dan juga media sosial. Kawallah, dan perbanyakkanlah perbincangan dengan anak-anak. Pastikan anak-anak dibesarkan dalam keadaan tahu batas.

Dan kepada orang awam seperti saya, sama-samalah kita banteras adegan-adegan sebegini di tempat awam. Biarlah mereka rasa malu apabila kita tegur mereka sekarang, daripada si gadis dan keluarganya malu apabila perut sudah membesar dan tak boleh disorok lagi.

Pesanan akhir saya WANITA YANG MAHAL ALLAH AKAN HANTAR LELAKI MAHAL SEBAGAI SUAMINYA. DAN LELAKI YANG MAHAL ALLAH AKAN BERIKAN WANITA MAHAL MENJADI ISTERINYA. Jadilah wanita yang mahal, jadilah lelaki yang mahal.

Sumber

Kredit: oh gebang

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*