Amanah yakin rampas 13 kerusi PAS di Selangor

PETALING JAYA: Amanah yakn dapat merampas 13 kerusi DUN Selangor yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum yang lalu.

Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa berkata kebanyakan kerusi yang dimenangi PAS itu adalah hasil sokongan pengundi dari pelbagai kaum, terutama masyarakat Cina dan India.

“PAS menang di Selangor atas sokongan pengundi bukan Melayu. Bila PAS khianati dan kembali kepompong ke-Melayu-an dan Islamnya, jadi tugas Amanah untuk mengisi ruang kosong yang ditinggalkan PAS.

“Kalau 3 penjuru di 15 DUN itu berlaku, insyaallah 13 daripadanya dimenangi Amanah. PAS akan dapat undi tercorot. Contohnya boleh dilihat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar,” katanya dalam wawancara “Terus Terang” anjuran Invoke Malaysia.

Pada 8 November lalu, PAS Selangor mengintai sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN di negeri itu termasuk di kawasan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi, berkata PAS Selangor juga bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

DAP sebelum ini mengumumkan akan bertanding di 8 kerusi manakala Amanah semua kerusi yang ditandingi PAS di Selangor.

Mengulas lanjut, Husam berkata Amanah juga tidak menumpukan kepada negeri di pantai timur Malaysia Barat sahaja. Beliau berkata sekiranya Amanah mampu memenangi banyak kerusi di Selangor atau di negeri lain, Amanah akan menjadi parti masa depan dan PAS pula sukar untuk betulkan kesilapan mereka.

“Amanah akan jadi parti masa depan dan lebih baik daripada PAS,” katanya.

Pada PRU 2013 lalu, pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kerajaan negeri apabila menang 44 daripada 56 kerusi di DUN Selangor.

DAP dan PAS masing-masing menang 15 kerusi, manakala PKR berjaya mendapat 14. BN kekal sebagai pembangkang dengan memperolehi 12 kerusi.

Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*