“Kerana isteri saya ni ada Master, dia agak mengetahui tentang perkembangan (politik), kadang-kadang dia terlepas cakap tapi tak semestinya dia ada kuasa mutlak. Saya tak amalkan cara itu,”- Najib Pertahan Rosmah

Dalam ucapan sulungnya di Pekan sejak kekalahan kerajaan BN yang dipimpinnya pada pilihan raya umum lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau mencuri dana kekayaan negara.

“Saya bukan orang yang mencuri harta rakyat, sebab itu banyak tuduhan dibuat,” katanya di hadapan sekurang-kurangnya 500 orang di bangunan Umno di Pekan hari ini.

Bekas presiden Umno itu menegaskan bahawa penduduk di Pekan tahu bahawa beliau bukan seorang pencuri atau penjahat.

“Orang Pekan tahu saya bukan pencuri, penyangak. Kenal saya sebagai 42 tahun berkhidmat,” katanya disambut teriakan “Kami sayang Datuk Seri!”

Sebaliknya, Najib berkata beliau menjadi sasaran kerana jawatannya sebelum ini sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

“Saya dijadikan sasaran sebab saya presiden, PM. Kalau nak tumbangkan parti, kena presiden dan buat apa sahaja asalkan ‘brand’ saya rosak,” katanya.

Rosmah jadi sasaran

Menurut Najib inilah sebabnya mengapa isterinya Datin Seri Rosmah Mansor turut diserang oleh mereka yang menentangnya.

“Mereka serang saya, serang isteri saya. (Mereka kata) keputusan buat kena rujuk isteri saya. Itu fitnah sama sekali,” jelas beliau.

Najib menegaskan bahawa semua keputusan dibuat secara kolektif di dalam Kabinet dan bukan dibuat di rumahnya.

“Kita buat keputusan di kabinet. Saya tak buat keputusan dalam rumah. Keputusan direkodkan. Saya tak cakap tunggu dulu kena rujuk isteri saya.

“Tapi kerana isteri saya ni ada Master, dia agak mengetahui tentang perkembangan (politik), kadang-kadang dia terlepas cakap tapi tak semestinya dia ada kuasa mutlak. Saya tak amalkan cara itu,” katanya

Rosmah: Layan kami seperti manusia ada maruah

Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata keluarganya harus dilayan sama seperti manusia biasa yang memiliki maruah dan harga diri.

Beliau berkata demikian berikutan serbuan pihak berkuasa di kediamannya dalam melengkapkan siasatan mereka terhadap 1MDB.

“Saya memahami serbuan pada waktu subuh itu. Saya faham. Saya percaya seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Sebaliknya, kami harus diperlakukan seperti manusia biasa. Ada hak untuk memiliki maruah,” kata Rosmah dalam temu bual dengan Malay Mail.

Rosmah merujuk kepada tulisan Datuk A Kadir Jasin mengenai serbuan polis di kediaman Datuk Seri Najib Razak dan rampasan terhadap barangan mewah dalam siasatan mereka.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman baru-baru ini menyerbu beberapa lokasi, termasuk kediaman Najib di Taman Duta dan merampas kotak beg tangan, pakaian dan hadiah.

Polis turut menyerbu tiga unit kondominium yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences, Bukit Bintang dan merampas 72 beg wang tunai, barangan kemas dan barang berharga lain, serta 284 kotak beg tangan berjenama mewah.

Rosmah berkata keluarganya tenang menghadapi tindakan pihak berkuasa namun berharap perkara itu akan berakhir tidak lama lagi.

“Kami menerimanya dengan baik, saya fikir kami agak tenang, menjadi keluarga ahli politik. Ini hanya satu daripada cubaan dan kesukaran, bahaya dalam politik.

“Saya mahu perkara ini berakhir secepat mungkin kerana kami mahu meneruskan kehidupan kami,” katanya dipetik sebagai berkata.

Najib yang pernah menjadi individu paling berkuasa di negara ini, kini menghadapi siasatan 1MDB selepas BN mengalami kekalahan pertama sejak merdeka pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, setelah 61 tahun berkuasa.

Najib didakwa menerima deposit berbilion ringgit dalam akaun bank peribadinya, yang mana siasatan antarabangsa mendakwa ia berasal dari 1MDB.

Beliau bagaimanapun menafikan terlibat dalam salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi.

sumber: malaysiakini via krengkukeng.net

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*