MENGEJUTKAN, Anwar kata Najib hubunginya dua kali pada malam PRU, Ini Yang Najib Tawarkan

Bekas perdana menteri Datuk Najib Razak menghubungi Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta nasihat mengenai apa yang patut dilakukannya selepas BN mengalami kekalahan teruk pada malam pilihan raya umum, 9 Mei lalu.

Anwar, yang dibebaskan dari penjara selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong semalam berkata beliau menerima dua panggilan daripada Najib pada malam berkenaan.

“Ketika beliau menelefon pada malam PRU, saya menasihati beliau sebagai seorang kawan untuk akur dan teruskan hidup,” kata Anwar kepada Reuters dalam wawancara di kediamannya di Kuala Lumpur.

Anwar berkata beliau meminta Najib mengeluarkan kenyataan pantas dan tidak melengah-lengahkan proses berkenaan.

Bagaimanapun, Najib tidak membuat sebarang kenyataan walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) beberapa jam selepas pengiraan undi bermula.

Pada sidang media keesokan harinya, Najib berkata tiada parti yang mendapat majoriti mudah dan Yang di-Pertuan Agong akan memutuskan siapa yang akan membentuk kerajaan.

Baca: Najib: Tiada parti dapat majoriti mudah, Agong putuskan siapa PM

“Dia berdalih dan enggan mengakui lebih awal,” kata Anwar berhubung perbincangannya pada malam pilihan raya itu.

Anwar berkata Najib memikirkan apa yang boleh dilakukannya dan siapa yang boleh berunding dengannya.

Bagaimanapun Anwar menegaskan bekas perdana menteri itu tidak mendekatinya untuk cuba berunding dengan beliau dalam “cara yang lebih serius”.

“Walaupun dia merujuk kepada itu (perjanjian) saya hanya akan abaikan. Saya hanya akan mendengarnya,” kata Anwar ketika ditanya sama ada Najib menawarkan kepadanya sebarang ‘perjanjian’.

“Selepas panggilan kedua, dia benar-benar ‘remuk’,” katanya.

Najib tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan komen beliau.

Menurut seorang penganalis dari sebuah firma pengurusan risiko, Adib Zalkapli, bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi sebuah gabungan yang kalah dalam pilihan raya untuk memujuk pihak lawannya.

sumber: malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*