Saya Hanya Diperlukan Masa Susah – Rafizi

NAIB Pengerusi PKR, Rafizi Ramli tidak berminat dengan sebarang jawatan selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Sebaliknya, beliau membayangkan rancangan baharu yang akan dilaksanakannya akan menyasarkan negeri kelahirannya, iaitu Terengganu.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu juga buat masa ini tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan persekutuan.

“Sebagai ahli politik saya akan memberi tumpuan untuk Pakatan Harapan memenangi Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak akan mengambil sebarang peranan dalam kerajaan buat masa ini,” kicaunya menerusi laman Twitter pada Ahad.

Sebelum itu, Rafizi ditanya seorang pengikut mengenai kedudukan pusat kajian selidik prokerajaan yang diterajuinya, Invoke Malaysia.

Balas Rafizi, pertubuhan itu akan memberi fokus kepada usaha ‘memperkasa Malaysia’.

Pun begitu, seorang pengguna Twitter yang lain pula berkata beliau layak mengetuai Biro Pengaduan Awam iaitu badan kerajaan yang menguruskan masalah orang ramai.

Namun menurut Rafizi, beliau beranggapan ada calon yang lebih sesuai dan lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut.

“Sukar untuk melakukan apa yang saya buat semasa saya jadi pembangkang, namun ia dilaksanakan kerana memang satu keperluan.

“Sekarang Pakatan Harapan sudah menjadi kerajaan dan ada ramai orang yang boleh dan mahu menjadi menteri,” jawabnya.

Beliau malah turut menyampaikan penghargaan kepada seorang pengguna Twitter yang melihat dirinya sebagai ‘wira rakyat’ apabila membongkarkan satu demi satu skandal korupsi di dalam badan yang diterajui kerajaan terdahulu.

“Terima kasih dan saya akan menyimpan perbualan ini di arkib Twitter saya.

“Kita harus membiarkan kerajaan baru membuktikan komitmen mereka dalam pembaharuan.

“Saya hanya berguna apabila keadaan menjadi sukar,” balas Rafizi.

Sementara itu di ruang laman sosial yang sama, Rafizi meminta mana-mana pihak yang ingin membuat aduan penyelewengan perlu disalurkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Beliau malah mengingatkan kepada pengikutnya agar tidak merujuk atau ‘membisik’ sebarang maklumat bocor kepadanya.

Katanya, orang ramai tidak perlu lagi merasa bimbang untuk terus diadukan kepada badan awam berkenaan kerana pemerintahan kini sudah beralih kepada kerajaan PH.

“Sekarang kita dah tukar kerajaan, sepatutnya mereka bebas menyiasat sesiapa. Tidak perlulah whistleblower masuk penjara untuk dedah rasuah,” kicaunya.

Kenyataan bersifat sinis itu dipercayai sebagai merujuk kepada hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen ke atasnya gara-gara melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Beliau didapati bersalah kerana mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), National Meat & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., pada enam tahun lalu.

Rafizi sebelum ini dibelasah teruk termasuk oleh pemimpin PKR kerana mengkritik pemilihan tiga menteri awal dilakukan tanpa penyertaan partinya.

Ramai melihat kegagalan Rafizi mendapat tempat di kerajaan pusat yang baru adalah kerana beliau ditafsir sebagai pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim. -MYNEWSHUB.CC

 

Sumber: celotehsaje

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*