Akhirnya Terungkap!!Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Rahsia kematiannya 19 tahun yang lalu ?DAN SEJARAH HIDUP SUDIRMAN!!

Penghibur nombor satu meninggal kerana kegagalan hati bukan Aids :

KELUARGA Allahyarham Sudirman membuat keputusan untuk ‘menyembunyikan’ Penghibur Nombor Satu Negara itu mengenai penyakit dan punca kematiannya kerana tidak mahu peminat sukar menerima hakikat mengenai keadaannya yang sangat menyedihkan.

Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap penyakit Aids, tetap mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum mengenai punca penyakit dan kematian penyanyi itu.

Rakan karib Sudirman yang juga penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan berkata, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keluarga penyanyi itu seperti sudah bersedia untuk bercerita dan merungkai rahsia sebenar mengapa mereka bertindak ‘menyorokkannya’.

“Selepas bertahun-tahun, barulah rahsia itu terungkai. Keluarganya tidak mahu mendedahkan atau memberi peluang masyarakat Malaysia melihat Sudirman pada waktu itu kerana mereka tidak mahu melihat keadaan sebenar Sudirman yang sangat menyedihkan. Mereka sudah biasa tengok Sudirman dalam sentiasa ceria dan ‘cute’.

“Secara perubatan, Sudirman disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna. Tapi sebenarnya, ada punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana pada waktu itu, Sudirman sedang menghadapi pelbagai perkara aneh.

“Saya akui, ia juga disebabkan ajalnya memang sudah sampai. Tetapi Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi oleh Sudirman sehingga membawa kepada kematian,” katanya.

Habsah berkata demikian ketika menjadi tetamu siri Pesona Seni Aswara – Mengenang Sudirman: Program Kecil Berjiwa Besar di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini.

Program yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Aswara, Datuk Omar Awang itu menampilkan Mohd Kamarulzaman Taib sebagai moderator.

Habsah berkata, berdasarkan keakrabannya dengan penyanyi itu, beliau mendapati Sudirman ialah seorang pemerhati, ada pandangannya sendiri, memiliki ilmu dan pengetahuan am yang sangat baik.

Katanya, hal ini boleh ditemui menerusi kebanyakan lagu nyanyiannya kerana itu ia menjadikan Sudirman satu-satunya penyanyi yang berani tampil dengan lagu mencakupi pelbagai tema kehidupan.

“Saya secara peribadi berasakan apa yang dibuat oleh Sudirman belum boleh digantikan oleh penyanyi sekarang. Saya bukanlah hendak melebihkan Sudirman kerana rapat dengan Allahyarham, tetapi anda boleh kaji sendiri lagu nyanyiannya, tulisannya, komik yang pernah dihasilkannya. Anda akan dapat apa saja daripada soal isu semasa, kerjaya, kemasyarakatan sehinggalah kepada soal hati.

“Memang soal hati amat mengusik perasaan kerana Sudirman yang saya kenali lebih daripada seorang yang romantis,” katanya.

Katanya, Konsert Jalanan yang dibuat oleh Sudirman pada tahun 1984 adalah konsert terbesar yang berjaya menarik lebih 100,000 orang untuk menyaksikannya dan ia adalah antara bukti penyanyi itu mempunyai kesungguhan dalam kerjayanya.

“Untuk memastikan konsert itu berjaya, dia tidak menyerahkan semua urusan 100 peratus kepada orang lain. Sebab itu, Sudirman menguruskan banyak perkara termasuklah mendapatkan permit polis,” katanya.

Habsah berkata, Sudirman juga tidak menafikan dia bukanlah seorang penyanyi yang mempunyai suara berkualiti, fizikalnya pendek dan tidak tampan seperti kebanyakan penyanyi lain dan itu semua dianggap dirasakan sebagai kekurangan pada dirinya.

Katanya, Sudirman juga sangat berani dalam menentukan lagu yang hendak dirakamkan dalam albumnya tanpa mempedulikan sama ada ia boleh diterima oleh peminat dan pendengar.

“Sudirman seorang yang tidak kisah sama ada peminat mahu terima atau tidak. Baginya, sebagai penyanyi, bukan masyarakat yang berhak menentukan pilihan lagu yang hendak dinyanyikannya. Sudirman berasakan dia yang berhak tentukan dan memang banyak lagunya berjaya.

“Seingat saya, Sudirman adalah satu-satunya penyanyi di negara ini yang berani bercakap pasal patriotik. Dialah penyanyi yang merakamkan album yang semua lagunya bertemakan patriotik.

“Dia bukan sekadar seorang yang tidak takut mencuba tapi memang tidak takut untuk buat. Dan, Sudirman juga penyanyi yang ada jati diri cukup kuat. Dia buat album lagu Melayu seperti deli, joget, asli. Sememangnya dia seorang berfikiran jauh seolah-olah tahu dan yakin dia tidak hidup lama,” katanya.

Tambahnya lagi, Sudirman juga mahu membuktikan sesuatu iaitu sekiranya dia sudah tiada di dunia tetapi namanya tidak mudah dipadamkan dalam sejarah kerana penyanyi ini meninggalkan jejak yang sukar diganti.

“Dia seorang yang kerja kuat. Mungkin pelik tetapi untuk mendapatkan tenaga, Sudirman suka makan telur mentah,” jelas Habsah lagi.

Dalam diskusi itu, Mohd Kamarulzaman atau Che’ Kem yang kini dikenali sebagai Tunku Abdul Rahman dalam filem 1957: Hati Malaya, mengemukakan beberapa persoalan kepada Habsah berhubung dengan beberapa seni kata tulisannya yang cukup menyentuh jiwa apabila dinyanyikan oleh Sudirman seperti lagu Terasing, Merisik Khabar, Jauh Di Sudut Hati dan Salam Terakhir.

Mengulas perkara itu, Habsah menjelaskan, dia menulis seni kata secara tidak dirancang dan kebanyakannya disiapkan pada saat akhir iaitu ketika Sudirman sedang bersiap sedia untuk memulakan rakaman suara.

“Misalnya lagu Terasing. Lagu dan melodinya sudah disiapkan oleh Manan Ngah. Dia dan Sudirman sudah berada di studio untuk memulakan rakaman. Manan juga sudah menyiapkan liriknya tetapi Sudirman menolak. Manan kemudian menghubungi saya minta tulis lirik untuk Sudirman.

“Saya rasa dalam masa tidak sampai dua jam, lirik Terasing disiapkan dan Sudirman terus merakamkannya. Tapi disebabkan keakraban saya dengan dia menjadikan sedikit sebanyak memang boleh memahami perasaannya,” katanya.

Tambah Habsah, keakraban itu menjadikan Sudirman dianggap sebagai adiknya dan penyanyi itu sering bercerita mengenai harapan, impian dan cita-cita serta bebas menelefon pada bila-bila masa saja.

“Nasib baik suami sudah memahami sangat hubungan saya dengan Sudirman. Ada suatu ketika dia menelefon saya dalam keadaan sedih, sayu dan menangis. Dia memang berterus terang dengan apa yang tersimpan di hatinya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan suruh dia bersabar dan banyak beristighfar.

“Lagu Merisik Khabar dinyanyikan Sudirman dengan penuh perasaan kerana liriknya memang satu luahan dalam dirinya pada waktu itu,” katanya.

Kisah Disebalik ‘Pemetik Api’ Merisik Khabar Juara Lagu ’87



Memang Sudir tidak fikirkan tentang wang RM 3000 dan piala pusingan yang diperolehinya itu. Tapi dia tidak lupa menumpukan perhatian pada Zaiton Sameon, Khatijah Ibrahim dan kumpulan Alleycats. Ketiga mereka ini pada Sudir mempunyai persembahan yang menarik dengan kekuatan lagu yang mereka sampaikan.

Memang Sudir layak menerima anugerah itu. Penampilannya menguasai semua peserta. ‘Pemetik Api’ yang dinyalakan oleh Sudir memang mempunyai cerita tersendiri. Pemetik api itu dimilikinya sepuluh tahun yang lalu melalui bekas isterinya. Ketika itu mereka masih bercinta dan sama-sama menuntut di Universiti Malaya.

Sudirman tidak merokok sehingga ke hari ini. Tapi semenjak terjumpa sebuah pemetik api ketika sama-sama menonton wayang dengan bekas isterinya, Sudir gemar bermain dengannya.
“Masa itu saya susah. Entah macam mana saya hilangkan pemetik api tersebut. Kerana sayangkannya saya menangis. Dan dia janji akan belikan yang baru bila dia ada duit. Dan itulah pemetik api yang saya gunakan tadi.” Ujar Sudirman.

Pemetik api itu dibeli melalui duit biasiswa bekas isterinya itu. Dan Sudirman mengalunkan lagu tersebut khas buat siapa yang mengerti tentangnya. “Kenangan untuk pemetik api dan lagu itu tidak dapat saya lupakan,” akhiri Sudirman.

Selepas saja berakhir Juara Lagu 1987. Sudir keluar sebentar mengikut Manan Ngah ke kereta. Dia kemudian diberi sebuah frame lagu ‘Merisik Khabar’ yang dijahit sendiri oleh isteri Manan Ngah. Sudirman biarpun berjaya sebagai penghibur untuk kali ini tapi dia terkilan dengan kekalahan lagu ‘Merisik Khabar’.

Baginya lagu ini sebuah lagu yang menarik dan berhak menerima salah satu hadiah yang dipertandingkan. Terutama dalam kategori komposer terbaik. “Saya rasa TV3 patut membuat perubahan. Nampaknya kemenangan lagu bergantung pada musim. Lagu Merisik Khabar sudah lama dan yang menjadi ikutan dan sering didengar ialah lagu baru. Rasanya mereka perlu mengubah konsep agar ia adil dan sesuai dengan lagu yang dipertandingkan.” Komen Sudirman.

Petikan: Artikel URTV terbitan tahun 1987.

    Sudir bersama barisan komposer & artis yang memenangi pertandingan akhir Juara Lagu 1987

    Sudirman ketika dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori  ‘Persembahan Terbaik’ melalui lagu Merisik         Khabar Juara Lagu 1987 



SEJARAH HIDUP ALLAHYARHAM SUDIRMAN HJ.ARSHAD

Sudirman Hj Arshad
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, gelintar

Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1954-22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi terkenal di Malaysia. Beliau telah dinobatkan sebagai Penghibur Nombor 1 Asia dari Malaysia sebelum Siti Nurhaliza. Anak jati Pahang pertama memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di London. Lelaki kacak ini telah diberi jolokan sebagai Penghibur Milik Masyarakat, Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia. Beliau adalah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon.

Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui kaca televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter dan berkasut saiz 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja.

Sudirman Haji Arshad dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di no. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang. Anak kepada Puan Hajjah Romlah binti Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan.

Ibunya, seorang wanita yang aktif di arena politik sebagai Ketua Wanita UMNO Pahang Selatan dan Wakil Rakyat Pertama 1955 mewakili Kawasan Temerloh, telah meninggal dunia pada tahun 1959 di usia muda 32 tahun (ketika Sudirman berumur 5 tahun) setelah mengidap penyakit kanser. Bapanya adalah pengurus Syarikat Bas Temerloh (Temerloh Bus Company), juga seorang ahli politik UMNO di Temerloh, Pahang. Bapanya telah berkahwin dengan Puan Mariam binti Mohammad setelah kematian isterinya, sebelum meninggal dunia pada 1978.

Sudirman adalah anak bongsu, adik beradik yang lain – Zainuddin, Rudiah, Basir, Roslan dan Roaini. Dari sejak kecil, Sudirman sering menyanyi di mana sahaja. Di sekolah pula, beliau memasuki pertandingan bersyair, berpidato, berpantun, kuiz dan terlibat dalam persembahan teater dan koir sekolah. Dia suka bersukan, senang berpidato dan setiap waktu di perpustakaan.

Sudirman memulakan persekolahnya pada tahun 1961 di Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan), Pahang sehingga beliau menamatkan Tingkatan 6. Sebelum memasuki Tingkatan 6,
Sudirman menjalani kursus persediaan di ITM Petaling Jaya. Beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negeri tetapi dia menolak tawaran itu.

Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (Kuala Lumpur). Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat membahagi masanya dengan baik di antara menyanyi dan kelas tutorial di Universiti Malaya. Pada tahun 1980 beliau telah menerima Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Tahun 1983, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai Peguam pada tahun 1984. Bagaimanapun, Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya.

Bintang RTM 1976
Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender. Di peringkat awal saringan, beliau memberi jawapan spontan “seluar pinjam…” apabila disoal oleh pengacara rancangan mengenai seluar besar yang dipakainya. Para penonton suka caranya yang berterus terang. Beliau mendendangkan lagu Jali Jali, sebuah lagu klasik dari Indonesia. Jelas sekali suaranya memang unik.
<>
Selepas Bintang RTM, tahun 1977, Sudirman mula merakamkan suara dalam album EP sulungnya Teriring Doa bersama Warnada Rekod. Walaupun ketika itu sibuk dengan kuliahnya di Universiti Malaya, beliau sempat merakam lagu-lagu untuk dimuatkan dalam EP pertamanya, diantaranya lagu Teriring Doa dan Suratku Yang Ini.
Tahun 1978, EMI menawarkan kontrak kepada Sudirman. Album sulungnya dengan EMI berjudul Aku Penghiburmu. Beliau menyanyikan semula lagu Jali Jali yang telah memperkenalkannya kepada umum, termasuk dua lagu ciptaan Ahmad Nawab Aku Penghiburmu dan Kasih. Kedua-dua lagu ini juga dinyanyikan oleh Broery Marantika apabila Ahmad Nawab berhijrah ke WEA. Dalam tahun itu, Sudirman dipilih sebagai Penghibur TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.

Tahun 1979, album Perasaan diterbitkan dengan lagu hit Gerimis di Lautan bersama lagu-lagu lucu Mat Disko dan Toyol.
Setelah menamatkan pengajiannya, Sudirman bebas mengembangkan karier seninya. Beliau yang bangga dengan imej budak kampung, menyanyikan lagu-lagu yang berkait rapat dengan masyarakat Malaysian.
Istimewanya Sudirman kerana bermula tahun 1980, beliau telah menerbitkan 2 buah album dalam setahun. Kesemua albumnya berjaya dan kebanyakkan lagu-lagunya menjadi hit. Tidak semua artis pada zaman Sudirman dan zaman sekarang mampu berbuat demikian.

(1)Tahun 1980, album Anak Muda dan Lagu Anak Desa
(2)Tahun 1981, album Lagu Dari Kota dan Twinkle-Twinkle Little Star
(3)Tahun 1982, album Lagu Cinta dan Abadi
(4)Tahun 1983, album Images (hanya sebuah album sahaja)
(5)Tahun 1984, album Orang Baru dan Lagu Dari Sebuah Bilik

Pada tahun 1985, Album Konsert Malam Anak Desa di UKM Bangi edisi terhad telah diterbitkan dalam bentuk kaset. Ianya adalah rakaman langsung persembahan konsert tersebut.
Selepas itu, Sudirman hanya menerbitkan sebuah album dalam setahun.
(1)Tahun 1986, album Orang Kampung
(2)Tahun 1987, album Kul It
(3)Tahun 1989, album Asia’s No. 1 Performer

Lagu-lagu Sudirman yang istimewa dan popular telah dikumpulkan dalam album kompilasi Koleksi 16 Lagu-lagu Terbaik (1986) dan Pilihan Sentimental Emas (1987). Oleh kerana beliau amat menggemari lagu-lagu lama/klasik dan berirama deli, Sudirman turut mengeluarkan album Lagu-Lagu Rakyat (1989) dan Koleksi Klasik (1991).
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, beliau telah menghasilkan 18 buah album dalam bahasa Melayu, dan 2 buah album dalam bahasa Inggeris (Twinkle-Twinkle Little Star dan Images).

Selepas kematiannya pada tahun 1992, EMI Malaysia telah mengeluarkan 3 buah album kompilasi. Dua lagu baru Setelah Kau Tiada dan Cinta Di Sisimu dapat diterbitkan setelah diketahui siapa penciptanya. Lagu-lagu ini dimasukkan dalam album Setelah Kau Tiada
1-Sudirman – Jauh Di Sudut Hati (1992)
2-Sudirman – Balik Kampung (1993)
3-Sudirman – Setelah Kau Tiada (1995)

Banyak album kompilasi beliau telah diterbitkan semula dalam bentuk kaset dan cakera padat.
1-Sudirman – DwiDekad (1996)
2-Nilai Cintamu (2000)
3-Sudirman – 24 Greatest Hits -Sudirman No.1 (2002)
4-Sudirman Penghibur No.1 (2002)
5-Sudirman II 40 No.1 Dalam 1 (2003)
6-Memori Hit Sudirman (2004)
7-Sudirman – Memori Sentimental Hit (2005)
Sudirman -Dwi Intan
8-Sudirman – Timeless (2006)
Koleksi Emas Aidilfitri
Alunan Sukma Sudirman & Sharifah Aini
Memori Hit Melayu Deli

[Tema lagu]
Nama Sudirman sebagai penghibur rakyat yang berwawasan terus subur di hati para peminat. Lagu-lagu dendangannya berjaya menggambarkan kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia.
Lagu-lagunya ada untuk pelajar sekolah, pekerja kilang, jururawat dan gadis desa seperti lagu Pesan Abang, Jamilah, Sepetang Di Pinggir Bukit, Orang Kampung dan banyak lagi. Ada lagu sentimental berkisar kepada alam percintaan hingga kepada lagu-lagu berunsur nasihat, patriotik, keamanan sejagat dan mencintai tuhan.
Anak Muda, Anak Desa

Sudirman pada tahun 1980
Sudirman memberikan nilai baru kepada kampung halaman apabila menyanyikan lagu Hidup Sederhana (Basikal Tua) dan Anak Gembala dengan tempo yang rancak dan girang.
Lagu seperti Apa Khabar Orang Kampung mengajak peminatnya supaya jangan lupa pada asal usul kita. Lagu Balik Kampung merupakan suatu kemestian bagi para perantau yang berpusu-pusu pulang ke kampung pada setiap menjelangnya hari raya, namun ia bukanlah pencetus keceriaan tetapi lebih kepada sentuhan rohani.
Ketika bermula era “siswazah menganggur” Sudirman terlebih dulu menyingkapkan dalam lagu Aku Penganggur. Sekalipun lagu ini berentak rancak tetapi isu yang dilontarkan tentang stigma penganggur sampai kepada sasaran.
Lagu Aku Dan Duniaku menceritakan Sudirman dengan dunia pilihannya, manakala lagu seperti Baru Dapat Kerja, Orang Muda dan Pulang Dari Kilang adalah paparan mengenai jiwa dan perasaan orang muda, terutama yang baru bekerja.
Nasihat
Lagunya mengajak masyarakat menghargai alam sekitar, menyedari kepentingan pendidikan, menghormati dan yakin pada diri sendiri, disiplin dan jangan mudah lupa asal usul atau jati diri.
Sudirman mengabadikan puisi nukilan Allahyarham JM Aziz iaitu Penyu Menangis Siapa Tahu yang sebenarnya mengenai rayuan seekor penyu agar manusia menghentikan pencemaran alam sekitar.
Lagu Pesta Dunia mencela manusia-manusia negara kaya yang membazirkan makanan dan memperpanjangkan kebuluran di negara-negara miskin. Tahun itu, lagu ini telah memenangi kategori lagu terbaik dan penyanyi terbaik di South East Asia Song Festival.
Manakala lagu-lagu seperti Punch Card dan Chow Kit Road bukan saja menghiburkan dan sedap didengar tetapi juga mempunyai mesej.
Semangat patriotik

Semangat patriotik
Sudirman pernah mencoretkan catatan pada kulit album (piring hitam) ABADI (1982) bahawa EMI dan penerbitnya masa itu, S.Atan, tidak yakin untuk menerbitkan album patriotik (sepuluh lagu semuanya lagu patriotik) kerana takut masyarakat tidak dapat menerimanya. Tetapi demi cintanya pada Malaysia, beliau berkata sekurang-kurangnya biarlah dia ada satu album patriotik untuk seumur hidupnya. Dalam ABADI, lahirlah lagu Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita. Album itu tidak mendapat sambutan sebagaimana album komersilnya yang lain. Namun, tidak siapa menyangka, album patriotik Sudirman itu mendapat perhatian sampai kini. Lagunya sering berkumandang setiap tahun ketika negara menyambut hari kemerdekaan.
Suara bangga dan kagum pada negara, agama dan bangsa serta tokoh pemimpin diluahkan oleh Sudirman menerusi lagu Radio Malaysia, Bapak (ditujukan kepada Bapak Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj), Kul It! (mengenai perpaduan kaum) serta One Thousand Million Smiles.
Beliau turut menyanyikan lagu yang ditujukan khusus kepada Allahyarham Puan Sri Saloma berjudul Mama. “Mama (panggilannya kepada Saloma) tidak percaya bila saya membuka mulut meminta kebenaran untuk saya cipta lagu untuknya. Kata Mama, P.Ramlee enggan cipta lagu untuknya kerana Saloma adalah miliknya, dan tidak perlu cipta lagu lagi,” kata Sudirman pada April 1983.
Sudirman meninggalkan lagu Salam Terakhir dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf yang memberi makna besar kepada peminatnya.

Walau apapun terjadi, bagi Sudir, perjuangan Sudir dalam bidang seni tiada noktahnya. Selagi nadi ini masih berdenyut, selagi peminat masih meminati Sudir, selama itulah Sudir berjuang dalam dunia hiburan.


Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati buat selama-lamanya.

[sunting] Kerjaya sebagai artis
Duta Nyanyian
Tahun 1986, Tourism Malaysia melantiknya sebagai Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia. Semasa Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang ke-35 di Kuala Lumpur, Sudirman mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia (To Know Malaysia is to Love Malaysia) ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat. Lagu ini juga menjadi lagu tema semasa kempen Tahun Melawat Malaysia.
Sudirman dilantik sebagai duta bagi pelbagai syarikat terkenal seperti Proton, Malaysia Airlines, Honda Cup dan “honored pioneer card member” dengan Hong Leong.
Konsert di Chow Kit Road

Konsert di Chow Kit Road
Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama di dalam Malaysia Book Of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya memikat dan memukau hampir 100 ribu warga kota berpusu-pusu membanjiri jalan itu dengan kehebatannya. Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah Chow Kit Road dan diakhiri dengan lagu patriotik Abadi sambil beliau memakai bendera Malaysian.
Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman. Maka konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel dan dewan konsert, sekaligus memberitahu kita Sudirman bukan materialistik.

Penghibur Terbaik Asia
Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di “Asian Popular Music Awards”. Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Salem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London. Beliau merupakan penyanyi pertama Malaysia yang memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand. Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara lain yang lebih hebat popularitinya.
Lagu One Thousand Smiles dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Abbey Road Studio, tempat rakaman album bagi penyanyi megastars seperti The Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Bangsa-Bangsa Bersatu.

Persembahannya
Sudirman, seorang artis yg mempunyai daya tarikan yg tersendiri. Dia lincah dengan showmanship di pentas, sesuatu yang kurang kelihatan di zamannya, dan memiliki pelbagai koleksi pakaian beraneka fesyen yang digunakan sewaktu persembahan. Sudirman pernah muncul dalam acara penutup Sukan SEA 1989 yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur dengan penampilannya berbeza, beliau mengenakan baju bendera sambil mengibarkan Jalur Gemilang (ketika itu Bendera Malaysia) yang besar.
Semasa Pertandingan Juara Lagu TV3 1987, Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik kerana persembahannya begitu menyayat hati sewaktu mendendangkan lagu Merisik Khabar dengan petikan pemetik api simbolik beliau.
Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Sudirman & The Girls
Sepanjang persembahannya, Sudirman diiringi band pengiringnya (The Glue), kumpulan penari (The Girls) dan penyanyi latar (The Giggles). Biarpun sibuk dan sudah dikenali, beliau masih meluangkan masa untuk belajar vokal dari penyanyi klasik terkenal bernama Florence Fong.
Sudirman juga seorang yang bijak bekerja. Dia bekerjasama dengan produser, suka berkongsi idea dengan penerbit untuk menghasilkan yang terbaik. Beliau memiliki kreativiti yang amat besar. Dengar saja penghayatan lagu yang dinyanyikannya. Beliau juga amat unik dengan penjiwaan di atas pentas. Bukan saja kerana nyanyian beliau, tapi tingkah lakunya yang sungguh terbuka, bekerja keras, menghormati seni dan rakan-rakannya dikagumi menjadikannya seorang insan istimewa.
Kejayaan Sudirman sebagai penghibur itu juga tidak dapat lari dengan lagu-lagu popular gubahan komposer terkenal seperti Datuk Ahmad Nawab, Ooi Eow Jin, S.Atan, Manan Ngah, Osman Ghani, Kassim Masdor dan M.Nasir, selain lirik puitis oleh Habsah Hassan menerusi luahan rasa sebenar penyanyinya. Habsah Hassan turut menulis skrip untuk Sudirman semasa membuat persembahan rancangan RTM dan majlis makan malam.
Beliau juga aktif di dalam Persatuan Penyanyi dan Pemuzik Tanahair (PAPITA) dan dilantik menjadi Timbalan Presiden PAPITA untuk satu penggal. Semasa hayatnya, Sudirman sangat mengutamakan pemilikan hak cipta. Dia mempertahankan nama dan haknya bagi memastikan tidak ada pihak ketiga mengambil kesempatan.
Beliau mempunyai ramai kenalan rapat, diantaranya dari kalangan wartawan (Bahyah Mahmood, Intan Zabidin, Saodah Ismail, Ku Seman Ku Hussin, Fauziah Samad, Adam Salleh, Tajaiyah Ihsan, Fatimah Hassan, Mokhtar Alias, Juwie, Huzz, Muzlina, Zubairi Zabidin) dan kalangan artis (Noor Kumalasari, Sharifah Aini, Anita Sarawak, Yusni Jaafar, Sarimah, Zaiton Sameon, Ramli MS).

[Perkahwinan]

Gambar perkahwinan
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, pada 14 Februari 1981, Sudirman menamatkan zaman bujangnya apabila berkahwin bersama kekasih pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil Kamariah “Kay” Jamaluddin, seorang gadis yang bekerja di Petronas. Para peminat menyambut berita itu dengan gembira. Bagaimanapun, perkahwinan itu cuma bertahan selama tiga tahun sahaja. Ia berakhir dengan penceraian pada 25 Mei 1984 kerana tidak wujud lagi persefahaman antara mereka. Pasangan itu tidak mempunyai anak.
Sahabat baik Sudirman, Noorkumalasari pernah berkata, suasana malam di rumah Sudirman sangat sayu menjelang perpisahan antara mereka. “Apabila cerai dilafazkan mereka bertangisan. Air mata tidak dapat dibendung,” kata Noor yang menyaksikan sendiri perceraian Sudirman dan Kay.
Dalam majalah Utusan Filem dan Fesyen (UFF) dalam kolum Masih Kuingat Lagi, Sudirman menulis, dua perkara yang sangat memilukan hatinya. Pertama, kehilangan ibu pada usia yang sangat muda. Keduanya, perkahwinannya yang gagal.
Sudirman merakamkan kedukaannya melalui pahit getir penceraian menerusi lagunya Terasing dan Merisik Khabar, malah beliau turut mencipta lagu Setiamu Tiada Lagi dendangan Ibnor Riza. Setelah bercerai, Sudirman menumpukan seluruh tenaga kepada kariernya termasuk menulis, melukis, dan menubuhkan syarikatnya sendiri.

[Kematian]
[1] 17hb Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal Kuala Lumpur selama 4 hari. Dilaporkan beliau telah pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi di mana Sudirman dirawat. Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.
“Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia,” begitu penjelasan kakak Sudirman, Rudiah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.
[[2]]Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya Rudiah bt. Hj. Arshad di alamat No.16, Jalan Taban Satu, Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur setelah 7 bulan menghidap penyakit radang paru-paru (pneumonia). Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang – di sebelah pusara orang tuanya. Ribuan peminat-peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr. Mahathir Mohamad telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi dunia hiburan tanah air.

[Pencapaian Sudirman]
Semasa hayatnya dan selepas pemergiannya, Sudirman telah menerima beberapa anugerah dalam bidang seni dan pingat kebesaran.
Penghibur Terbaik RTM 1977 menerusi rancangan “Lukisan Irama” terbitan Doreen Chia.
Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 1978
Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 1985
Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia 1985
Persembahan Terbaik Juara Lagu TV3 1987
Pemenang Terbaik Anugerah Bintang Cemerlang 1987 melalui lagu Merisik Khabar
Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 1989
Asia’s Number One Performer 1989
Anugerah Guinness
Pingat Ahli Mangku Negara 1988
Pingat Ahli Mahkota Pahang oleh Sultan Pahang 1992
Darjah Johan Mangku Negara, sempena ulangtahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah, 6 Jun 1992
Penghibur No. 1 Malaysia, dari New Straits Times pada tahun 1993
Anugerah Khas dalam Anugerah Industri Muzik tahun 1993

Bukan gelaran jadi ukuran… Tetapi bakti yang disumbangkan.

[Penulis dan pelukis kartun]
Sewaktu hayatnya, selama 10 tahun, Sudirman menjadi kolumnis ruangan ‘Teringat-ingat’ dalam majalah hiburan URTV, terbitan Utusan Melayu. Beliau juga menjadi residen writer di Kumpulan Karangkraf. Tugasnya setiap hari ialah menulis dan melukis untuk majalah-majalah terbitan Karangkraf waktu itu seperti Bacaria, Nona, Media Hiburan, Mingguan Kanak-kanak dan Remaja. Idea itu adalah ideanya sendiri, lukisannya sendiri. Malah beliau turut menulis di Mingguan Malaysia dan menjadi kolumnis di beberapa buah akhbar mingguan tempatan, antaranya dia pernah menemuramah dan menulis riwayat hidup pahit getir perjuangan bekas Timbalan Perdana, Tun Ghafar Baba di dalam sebuah akhbar tabloid.

Sejarah Awal Sudirman
Sejarah Awal Sudirman
Sudirman telah menceritakan kisah-kisah awal hidupnya melalui buku kartun Sejarah Awal Sudirman yang diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf pada tahun 1991. “Berbagai-bagai keterangan mengenai saya telah disiarkan di lipatan majalah dan muka akhbar. Ada yang benar, dan ada yang tidak. Adatlah, apabila orang kedua bercerita, kadang-kadang ada yang terkurang dan ada juga yang terlebih kata. Tetapi buku ini cerita saya dan dari mata pena saya sendiri. Ceritanya tentu akan merantaikan diri saya. Tetapi tidak apa, kerana cerita ini cerita benar tentang diri saya. Buku ini merangkumi hidup saya dari saat kelahiran saya hingga Mei 1972…” LAT, pelukis kartun tanahair yang ulung, merupakan sumber inspirasi beliau.[3]

Dari Dalam… Sudirman
Dari Dalam… Sudirman
Cerita-cerita ini pertama kali disiarkan melalui ruangan Cetusan Rasa kelolaan Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang terbit seminggu sekali melalui akhbar BACARIA terbitan Karangkraf dari 5 Mei 1983 hingga 7 Ogos 1984. Edisi khas ini dibuat pada bulan Disember 1986 kerana Allahyarham ingin berkongsi luahan dan cerita untuk renungan bersama peminat yang menyayangi beliau.
Taming Si Budak Pintar
Sudirman memenangi Hadiah Pertama dalam Mobil-Malaysian Association of Book Publishers Awards, anugerah bagi novel sastera kanak-kanaknya iaitu Taming Si Budak Pintar pada tahun 1995, yang memuatkan pelbagai cerita kanak-kanak bagi melahirkan kanak-kanak pintar. Anak saudaranya, Johana Era Zainuddin menerima anugerah tersebut bagi pihak beliau dari Datuk Peter Tinggom.

[Pelakon filem]

Tookoo mengajar Din menulis

KAMI
Filem: KAMI
Watak: Tookoo (remaja berusia 17 tahun).
Mula ditayangkan: 27hb Mei 1982
Dikeluarkan oleh: Indra Film Productions and Distribution Sdn. Bhd
Arahan: Patrick Yeoh (filem pertama arahannya)
Lagu tema : Pelangi Petang [4]
Sinopsis: Tookoo hanya belajar sampai darjah 6 dan hobinya suka menyanyi. Ibunya sudah meninggal dunia, dia tinggal bersama ibu tiri dan bapanya. Disebabkan tidak serasi dengan ibu tirinya, dia berhijrah ke Kuala Lumpur. Di sana, Tookoo bertemu dengan Din, seorang kanak-kanak terbiar. Din tinggal bersama makciknya yang selalu menderanya. Oleh sebab itu Din pun melarikan diri dan ingin mencari ibu kandungnya. Suatu hari semasa hujan, Din minta berteduh di tempat berlindung Tookoo iaitu sebuah banglo yang ditinggalkan. Sejak itu Din dan Tookoo menjadi kawan baik, di situlah bermulanya KAMI. Macam-macam halangan dan rintangan yang mereka hadapi dalam meneruskan hidup.
Sudirman telah dicalonkan dalam kategori Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia, tetapi tidak berjaya.
BERCITA-CITA INGIN MENJADI PRODUSER Menjelang penghujung usianya, Sudirman memberitahu, dia telah menyiapkan skrip filem Primadona dan bercita-cita untuk menjadi produser dan pengarahnya. Malangnya hasratnya itu tidak kesampaian.

[Usahawan]

Minuman tin Sudi

Cermin mata hitam
Sudirman pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal kira-kira RM3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbonat jenama Sudi. Kejayaannya dalam memasarkan Sudi telah mengangkat Sudirman sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda. Minuman Sudi yang terkenal telah mengambil 5 peratus pasaran minuman karbonat dalam masa 6 bulan beroperasi (dengan bantuan majalah bisnes dan program TV dari Australia ke Hong Kong mengiklankan minuman Sudi).
Pada 9 Mac 1991, Sudirman telah mengadakan konsert di tapak Expo Air Keroh, Melaka. Konsert percuma anjuran SUDI Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Melaka itu, bagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai atas sambutan mereka terhadap minuman jenama Sudi.
Atas inisiatifnya juga, beliau telah membuka Sudi Shoppe di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur dengan menjual beraneka barangan yang berkaitan dengan penampilan bintang popular dan ‘merchadising’ keluaran dirinya, termasuk cermin mata hitam yang fleksibel.
Syarikatnya merancang untuk mengeluarkan Sudi Rasa – iaitu makanan dalam tin seperti sardin, santan kelapa, buah-buahan, koktel dan mee segera. Dilaporkan ada juga rancangan untuk minyak masak, sos tomato dan sos cili istimewa. Beliau dikatakan memiliki restoran yang dinamakan Restoran Selera Sudi terletak berhampiran pejabat urusannya, Sudirman Productions di Taman Sri Hartamas.
Tahun 1983, Sudirman menubuhkan syarikatnya ‘Sudirman Productions’ dengan hanya seorang pekerja. Tahun 1987, Sudirman menghasilkan sebuah album berjodol Sahabat untuk anak saudara kesayangannya Atai (Razman Azrai Zainudin) di bawah Sudirman Productions. Beliau bersama pengurusnya, Mike Bernie Chin bercita-cita menerbitkan video yang merakam aksinya ketika konsert. Walaubagaimana pun pada Mac 1987, Mike Bernie mengundurkan diri daripada menjadi pengurus Sudirman setelah ia merasa Sudirman tidak dapat ‘diurus’ lagi. Kemudian Sudirman melantik Dharanee Dharan Kannan sebagai pengurusnya sehingga Jun 1991 apabila Dharanee meletakkan jawatan. Sejak itu Sudirman mahu mengurus sendiri semua kegiatan hiburannya.
Malangnya setelah Sudirman jatuh sakit, perniagaannya – Sudirman Productions dan SUDI Sdn Bhd telah ditutup pada September 1991.

Namamu tetap dikenang
Nama Sudirman Haji Arshad terus bersemadi di dalam hati peminatnya. Beliau masih Penghibur nombor 1 yang sukar dicari ganti.

Tetap dikenang
Setiap kali Merdeka atau Aidilfitri, kita akan teringatkannya. Menjelang Hari Raya Aidil Fitri, rakyat Malaysia turut sama menyanyi apabila mendengar lagu nyanyian Sudirman, Balik Kampung, Selamat Hari Raya dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf berkumandang di radio dan TV. Tatkala sambutan Hari Merdeka, lagu patriotik 31 Ogos dan Warisan masih dimainkan.
Seperti ibunya, Sudirman diabadikan di Muzium Tokoh Pahang, di Kuantan sebagai mengenang jasanya di bidang seni kepada bangsa dan negara. Disinilah dipamerkan barang berharga – trofi Anugerah Penghibur Terbaik Asia milik Sudirman.[5]

Trofi
Tahun 1992, sebuah buku biografi Detik Terakhir Sudirman telah ditulis oleh En. Ghafar Nin dan Cik Amira Muhamad – Keistimewaan yang ada pada Sudirman untuk dijadikan kenangan khusus buat peminatnya.
Pada 23 Mei 2002, EMI Malaysia, Arkib Negara dan Istana Budaya telah bekerjasama dalam menjayakan Majlis Pengkisahan dan Pameran Sudirman di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman selama sebulan sempena 10 tahun pemergian Sudirman. Objektif pameran dan pengkisahan buat julung kalinya itu juga bagi mengumpul dan mendokumentasikan maklumat berkaitan Allahyarham Sudirman melalui penceritaan dari keluarga, sahabat serta koleksi barangan peribadi Allahyarham.
Jasa Sudirman turut dikenang menerusi majlis Anugerah Kecapi 2006 anjuran Papita yang menganugerahkannya secara rasmi gelaran Penghibur Nasional.

[Selepas Era-Sudirman]
Kini penghibur nombor 1 Asia yang juga anak jati Temerloh, Siti Nurhaliza telah mengadakan konsert Untukmu Sudir sebagai mengenang jasa buat Sudirman sebagai Seniman Rakyat.

[Program khas di TV]
Tahun 2006, Astro Ria menerusi Trek Selebriti telah menyiarkan satu episod khas bagi memperingati sejarah hidup dan pembabitan Sudirman di bidang seni, dan turut menampilkan secara eksklusif persembahan terakhir Sudirman yang belum pernah disiarkan di mana-mana stesen TV.
Melalui slot Sepanjang Jalan Kenangan… Penghibur Legenda, sepanjang Mac 2007, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyiarkan semula program-program nyanyian yang pernah dihoskan oleh Allahyarham Sudirman bagi mengimbau kembali perjuangan seni beliau. Ia bertujuan sebagai pembuka tirai kepada Konsert Suara Hati Sudirman yang telah diadakan pada 1hb April 2007.

Sudirman & Atai

Sudirman menyanyi sambil melukis
Puspawarna 1984 (7 Mac 2007) – konsep “Sudirman dari sebuah bilik”
Mekar Sejambak Sudirman dan Atai 1985 (14 Mac 2007) – konsep muzikal mengenai sebuah kelab malam amatur yang diuruskan oleh Sudirman.
Istimewa Bersama Sudirman 1987 (21 Mac 2007) – Sudirman turut mendendangkan rangkaian lagu-lagu berbahasa Cina, Tamil, juga menyanyi sambil melukis bendera Malaysia.
Istimewa Bersama Sudirman 1988 (28 Mac 2007) – konsert bulanan ‘live’ yang dikendalikan penyanyi popular dan berbakat saja.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*