Satu kepala RM3,000, TMJ belanja orang ramai berjumlah RM1 juta

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini membuat kejutan besar di pasaraya Aeon Tebrau di Johor apabila membelanja kesemua pengunjung yang datang ke pasaraya berkenaan.

Tunku Ismail dilapor membelanja setiap orang sehingga RM3,000 untuk membeli barangan mereka dengan jumlah kira-kira RM1 juta, menurut The Star Online.

Menerusi sebuah video, pengunjung di pasaraya berkenaan dilihat berkerumun di sekeliling beliau yang ditemani isterinya, Che Puan Khaleeda Bustamam dan menyanyikan lagu “TMJ”.

Tunku Ismail kemudian dilihat membawa pembesar suara dan memberi pesanan kepada orang ramai yang kelihatan teruja.

“Apa saja yang kamu mahu di pasaraya hari ini saya bayar,” katanya.

Pengunjung kelihatan terkejut dan gembira dengan pengumuman tersebut.

Video dan gambar yang menjadi tular di laman sosial menunjukkan mereka beratur panjang di pasar raya berkenaan.

Tunku Ismail tiba sekitar jam 6.30 petang dan beliau membelanja pengunjung di pasaraya itu sehingga kira-kira jam 8 malam.

“Saya bukan ahli politik’

Sementara itu halaman Facebook Johor Southern Tigers turut berkongsi pemandangan di pasar raya itu.

Laman itu juga berkongsikan kenyataan Tunku Ismail yang berbunyi: “Saya bukan ahli politik. Saya tidak memerlukan undi tetapi saya ikhlas menyayangi rakyat saya. Sentiasa bersama anda bangsa Johor”.

Tunku Ismail kembali menjadi perhatian mutakhir ini selepas beliau berkata tidak perlu menukar enjin sebuah kapal hanya kerana seorang nakhodanya bermasalah, yang secara jelas merujuk kepada senario politik semasa.

Beliau juga menyuarakan kritikan terhadap pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad, meskipun tidak menyebutkan nama bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, segelintir netizen menyatakan rasa kurang setuju mereka terhadap pandangan putera mahkota Johor itu.

Dalam satu kenyataan berasingan kemudian, Tunku Ismail menafikan beliau berpihak kepada mana-mana parti politik.

 

 

 

Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*